#DBKL Merancang Tanah Perkuburan Baru Kuala Lumpur Di Ladang Bukit Jalil


Sebuah penempatan setinggan seluas 6.8 hektar di Ladang Bukit Jalil di sini, akan dibangunkan sebagai kawasan perkuburan Islam ekoran masalah kekurangan tanah kubur di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berbincang dengan penduduk di kawasan terbabit berhubung pemindahan mereka sebelum ia dibangunkan.
Katanya, usaha itu akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, setakat ini masih ada 39 keluarga setinggan yang enggan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat Muhibbah dan rundingan­ akan diadakan semula yang turut melibatkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan.

"Penduduk setinggan tersebut meminta DBKL menyediakan tanah seluas 1.6 hektar kepada mereka untuk dijadikan sebagai tempat tinggal. Bagaimanapun kita tidak boleh berbuat demikian kerana sebelum ini lebih 100 penduduk lain di kawasan itu telahpun berpindah.

"Kita berharap penduduk memahami bahawa tanah perkuburan Islam yang ada kini tidak mencukupi untuk menampung jenazah dan kita memerlukan tanah baharu untuk membangunkan kawasan perkuburan di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari, Cheras di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Khairat Kematian Kampung Cheras Baru Bukit A, Ismail Abu Bakar dan Pengerusi Madrasatul Islamiah Cheras Baru, Musa Abdul Ghani.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Phesal, Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari sepatutnya tidak lagi menerima jenazah baharu kerana telah penuh namun atas permohonan kariah di kawasan tersebut, DBKL menarik balik keputusan berkenaan.

Katanya, pihaknya akan membenarkan antara 50 hingga 60 jenazah­ dikebumikan di tanah perkuburan tersebut.

"Penduduk turut meminta supaya laluan di tanah perkuburan ini dijadikan kubur ekoran kekurangan kawasan.

"Kita juga bercadang mengambil sebahagian tempat letak kereta untuk tujuan itu sebelum kawasan tanah perkuburan ini ditutup," ujarnya.

Beliau berkata, beberapa kawasan tanah perkuburan lain telah dikenal pasti oleh Jawi untuk dimanfaatkan pada masa akan datang iaitu di Tanah Perkuburan Islam Lebuhraya KL-Karak dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.