Akta Kebankrapan 1967 Bakal Diganti - Nancy Shukri


Kerajaan sedang menggubal akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) yang bertujuan memperbaiki kelemahan sedia ada dan membela kepentingan semua pihak termasuk penjamin sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, menerusi akta baharu itu, kerajaan tidak mahu pihak pemiutang se­perti bank mencari jalan mudah dengan mengejar seseorang penjamin sebelum menuntut bayaran daripada peminjam.
Katanya, akta itu akan menjaga kepentingan penjamin sosial yang merujuk kepada penjamin pinjaman bukan komersial seperti pendidikan, kenderaan dan perumahan.

“Akta baharu ini dalam peringkat terakhir untuk disiapkan. Kita masih berbincang untuk memperhalusi isi kandungan akta itu. Dua tahun lepas, kita sudah hampir menyiapkan akta itu yang cuba menggabungkan Akta Kebankrapan dan Akta Syarikat.

“Apabila berlakunya kes seperti pemegang saham yang menjadi mangsa dan diisytiharkan bankrap oleh bank, kita lihat tidak praktikal dua akta itu digabungkan,” katanya selepas melancarkan Program Memperkasa Informasi Generasi Muda 2014 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Jelas Nancy, berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 6,898 kes kebankrapan dalam kalangan penjamin sosial iaitu melebihi 0.5 peratus kes kebankrapan membabitkan hutang kad kredit.

Beliau turut mendedahkan, statistik kebankrapan sejak 2007 hingga Jun 2014 mencatatkan sebanyak 134,550 kes dan daripada jumlah itu, golongan belia berusia 25 hingga 34 tahun merupakan kumpulan ketiga terbesar iaitu sebanyak 20 peratus.

“Untuk tahun 2014 sahaja, seramai 17,650 orang telah diisytiharkan bankrap sehingga September lepas dengan 5,553 orang dicatatkan di Kuala Lumpur. Pada tahun lepas pula, seramai 21,987 orang te­lah diisytiharkan bankrap,” ujarnya.


Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.