Persidangan Bahagian Jadi Bukti UMNO Parti Demokratik


Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata, setakat ini hampir 50 peratus bahagian UMNO di seluruh negara telah pun berjaya mengadakan persidangan termasuk sayap pemuda, wanita dan puteri empat peringkat di bahagian masing-masing.

Menurut beliau, persidangan bahagian yang diadakan pada setiap tahun dengan jayanya ini merupakan satu pentas demokarasi yang subur memandangkan setiap perwakilan sayap dan bahagian dapat memberikan idea dan cadangan untuk diajukan kepada kepimpinan peringkat negeri dan pusat.
“Mungkin dalam banyak-banyak cadangan dan pandangan yang mereka berikan, ada terdapat cadangan yang disebut oleh TPM sebagai cadangan ‘wow’ faktor. Selain daripada berikan cadangan, mereka juga boleh menegur pucuk pimpinan di bahagian termasuk diperingkat negeri dan di pusat.

“Perkara ini secara jelas memperlihatkan UMNO merupakan sebuah parti yang subur dari segi kebebasan bersuara dan bukan itu saja, ia memberikan bukti bahawa UMNO juga meraikan pandangan serta cadangan yang bernas untuk manfaat parti dan rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO bukan hanya berjuang untuk Melayu dan rumpun Melayu saja tetapi juga adalah untuk semua kaum bumiputera yang lain dan juga kepada rakyat seluruh negara.

“Perkara ini termaktub dalam perlembagaan kita. Justeru itu, cadangan yang diberikan oleh perwakilan di dalam mesyuarat bahagian akan sentiasa diambil kira kerana cadangan-cadangan itu adalah dari akar umbi untuk manfaat keseluruhan rakyat dan bukan hanya untuk orang Melayu saja.

“Kita sememangnya berharap agar semua perwakilan dapat memberikan cadangan yang dapat membina UMNO sebagai sebuah parti yang lebih kuat dan dapat menjana idea bagi menjadikan negara kita sebagai negara maju yang lebih baik pada masa yang akan datang,” jelas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.