PAS Bacul, Ambil 'Sikap Melukut Di Tepi Gantang' - Syed Ali


PAS yang lebih dulu ditubuhkan, seharusnya menampakkan parti yang mempengaruhi kedua-dua parti PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dan bukannya menjadi bacul atau mengambil sikap seperti ‘malukut di tepi gantang’.

Perkara ini ditegaskan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee sebagai mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang menasihatkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali agar PAS hanya diberikan ‘consolation seats’ dalam barisan exco negeri itu kerana tidak memberikan sokongan kepada calon MB PKR sebelum ini, Wan Azizah.
Menurut Syed Ali, kenyataan Zuraida jelas membuktikan bahawa PKR tidak pernah menghormati PAS sebagai rakan sekutu. PAS tidak lebih hanya perkakasan kepada Pakatan Rakyat dalam usaha parti itu meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan Zuraida jelas menampakkan kesombongan PKR untuk membolot kuasa di negeri Selangor. Secara jelas dan nyata, PKR cuba menafikan peranan PAS dan menjadikan parti ini sebagai kuda tunggangan demi mencapai cita-cita besar mereka untuk menguasai negara.

“Saya mahu tanya di sini siapa menumpang siapa dalam Pakatan Rakyat? Saya turut merasa pelik kenapa PAS sanggup membiarkan dirinya diperbodohkan oleh PKR dan DAP yang terus mengasak dan memberikan komen-komen negatif terhadap parti itu sejak kemelut Menteri Besar (MB) Selangor,’’ katanya.

Syed Ali turut mempersoalkan sikap PAS yang terus diam menikus bila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh empat Exco PAS menyokong Khalid Ibrahim sebagai pengkhianat. PAS juga terpaksa diam menikus segala tindakan PKR dan DAP yang jelas bertentangan perlembagaan negara atau institusi tertentu di negara ini. Mana suara Dewan Ulama PAS?

Menurut Syed Ali, mana-mana parti Melayu yang menyertai DAP disifatkan sebagai pengkhianat dan petualang kepada bangsanya sendiri. Tegasnya, sudah terang-terangan perjuangan politik DAP yang berteraskan kepentingan Cina dan menafikan hak serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

“Seharusnya PAS tidak menjadi parti pak turut kepada PKR dan DAP. Jika PAS terus bersekongkol dengan PKR dan DAP ini bermakna parti itu juga turut merestui pemimpin kedua-dua parti itu yang mempersendakan raja –raja Melayu dan agama Islam.

“Bagi saya tiada sebab parti Melayu yang berteraskan kepada Islam seperti PAS harus berada dalam satu kapal PKR dan DAP yang mempunyai satu matlamat perjuangan iaitu kuasa dan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Sampai bila PAS mahu mengorbankan maruah dan menggadaikan prinsip perjuangannya?

“Saya nak tanya di sini kenapa murah sangat harga pemimpin PAS yang sanggup menjadi alatan kepada PKR dan DAP? Tanpa PAS sedar, PKR dan DAP sedang berusaha menggadaikan maruah PAS sehingga ke tahap paling rendah yang akhirnya PAS akan ditolak olek rakyat dalam pilihan raya umum akan datang,’’ujar Syed Ali.

Tegasnya, memang tiada jaminan orang Melayu akan terbela pada masa depan jika mereka terus bernaung di bawah PKR dan DAP. Akhirnya PKR akan menjadi sebuah parti yang mirip DAP menidakkan kepentingan Melayu dan tidak mempunyai hak untuk bersuara.

Sehubungan itu, Syed Ali menasihatkan PAS agar muhasabah diri dan terus bersama-sama UMNO dalam memperjuangkan kepentingan Islam dan orang Melayu di negara ini.

Beliau turut menegaskan, sejarah sudah membuktikan bahawa UMNO telah berjaya meletakkan orang Melayu sebagai satu bangsa yang mempunyai hak dan keistimewaan di negara ini. Ini jauh bezanya dengan Pakatan Rakyat yang mengumpul kekuatan dengan cara menghasut rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.