Kerajaan Digesa Sediakan Tanah Untuk Pemaju Bangunkan Rumah Mampu Milik @NajibRazak @Khairykj @tengkuadnanreal @razlanrafii


Kerajaan disaran menyediakan tanah miliknya dalam bandar kepada pemaju perumahan awam untuk dimajukan sebagai projek perumahan kepada rakyat terutamanya kepada golongan muda di bandar.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata langkah itu adalah lebih baik daripada menjualnya kepada pemaju swasta bagi membina rumah mampu milik.

Katanya, kerajaan masih mempunyai ratusan hektar tanah yang boleh dimajukan pihak berkenaan supaya rumah yang dibina dapat dijual dengan harga serendah RM120,000 kerana dibina tanpa kos pembelian tanah.


"Kita yakin kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) misalnya masih mempunyai tanah yang boleh diberi kepada pemaju seperti Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) atau UDA Holdings Bhd (UDA) supaya golongan muda tidak terbeban untuk memiliki rumah," katanya.

Beliau berkata, antara faktor kenaikan harga rumah masa kini adalah disebabkan kos tanah dan kerajaan perlu melakukan sesuatu demi menyediakan keperluan asas yang semakin mendesak kepada golongan muda di bandar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan juga diharap merealisasikan cadangan mewujudkan Bandar Belia iaitu sebuah kawasan perumahan untuk golongan belia di kawasan pinggir bandar bagi mengatasi masalah perumahan golongan berkenaan.

"Tidak mustahil projek perintis ini boleh menjadi kenyataan. Misalnya di Sungai Buloh dan TUDM Sungai Besi, mungkin boleh menjadi antara lokasi untuk dibangunkan bandar yang mengandungi pelbagai keperluan untuk golongan muda seperti pusat sukan dan rekreasi," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Bandar Belia di kawasan pinggir bandar bagi mengatasi masalah perumahan membabitkan golongan tersebut.

Beliau berkata, projek berkenaan mampu direalisasikan melalui kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan pemaju swasta, selain projek perumahan awam sedia ada yang dibangunkan kerajaan.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata kerajaan perlu mengambil langkah mengawal selia pemaju dan pembeli bagi mengelak berlakunya manipulasi pasaran hartanah.

"Cukai yang tinggi contohnya perlu dikenakan kepada pembeli yang memiliki lebih daripada sebuah rumah bagi mengelak mereka membeli dan menjual semula rumah tersebut dengan harga yang lebih tinggi.

"Selain itu, perlu ada penguatkuasaan ke atas pemaju perumahan swasta yang sewenang-wenangnya menguasai harga rumah sehingga golongan sasar gagal memiliki rumah mengikut pendapatan mereka," katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan memperbanyakkan pembinaan kuarters kepada penjawat awam di bandar agar mereka tidak terdesak untuk membeli rumah dan memberi laluan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.