Ahli Parlimen (DAP) Kuching Dikecam, PAS 'Keldai Politik' PKR, DAP


Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-60 tidak lebih hanya sandiwara PAS untuk menarik simpati rakyat terhadap parti itu. Ini adalah kerana rakyat sudah muak dengan tindak tanduk PAS yang kerap kali beretorik bila mengadakan muktamar tahunan parti itu. 

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan muktamar PAS tidak lebih hanya sebagai wayang untuk menutup segala kelemahan kepimpinan dalam parti itu. Selain itu katanya, PAS akan terus menjadi ‘keldai politik’ PKR dan DAP kerana sikap pengecutnya.
Kata Syed Ali, meskipun Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din semasa muktamar parti itu semalam menasihatkan agar parti itu mengkaji semula tahaluf siyasi (kerjasama) PKR dan DAP namun beliau yakin PAS lebih selesa menjadi ‘keldai politik’ kedua-dua parti tersebut.

“Bagi saya PAS sanggup melanggar prinsip perjuangan Islamnya semata-mata mahu menjadi ‘keldai politik’ kepada PKR dan DAP. Biasalah ‘keldai politik’ akan menurut apa sahaja arahan ‘tuan-tuan’ besarnya walau sering difitnah dan dihina oleh PKR dan DAP. PAS lebih rela melihat Islam dilacurkan dan masa depan negara hancur musnah kerana agenda politik Anwar Ibrahim.

“Pendirian PAS untuk kekal bersama-sama PKR dan DAP adalah sesuatu yang amat malang kepada anggota parti itu yang rata-rata mahukan PAS keluar dari Pakatan Rakyat.

“Saya tetap mengatakan PAS akan terus mengkhianati umat Islam dan orang Melayu apabila bersubahat dengan PKR dan DAP yang sering mempertikaikan Islam, sistem beraja dan tidak menghormati Perlembagaan Negara,” katanya.

Menurut Syed Ali, akibat sikap pengecut pemimpin PAS yang sanggup dikeldaikan oleh PKR dan DAP menjadi punca kepada bukan Melayu terutama dalam PKR dan DAP hilang adab serta sanggup menghina Islam, orang Melayu, institusi istana dan mempersoalkan perlembagaan negara.

Malah PAS hanya membatu bila terdapat segelintir pemimpin DAP yang menghina hukum hudud. Walaupun Abdul Hadi Awang mengakui parti itu menghormati perlembagaan persekutuan dan institusi istana namun menampakkan sikap pengecut bila terdapat pemimpin PKR dan DAP yang menghina perkara tersebut.

Terbaru Ahli Parlimen Kuching yang juga Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengecam lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan di pawagam dalam laman facebook beliau. Tindakan Chong Chieng Jen itu dikecam oleh banyak pihak namun PAS dan PKR hanya mendiamkan diri.

Chong Chieng Jen antara lain menulis,” Persoalannya apa yang telah terjadi? Sejak bila lagu Negaraku dinyanyikan di panggung wayang? Adakah Malaysia dalam usaha menjadi sebuah negara komunis era Mao apabila semua orang perlu menunjukkan semangat patriotik terlampau. Ini memalukan dan tidak masuk akal. Saya tidak tahu bagaimana untuk memberitahu kepada rakan-rakan di luar negara, mungkin selepas ini perlu menyanyi sebelum makan, tidur dan…”

UMNO Bahagian Cheras mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen (DAP) Kuching yang bersikap biadap dan tidak menghormati lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku. Beliau mahukan kerajaan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau pemimpin pembangkang yang didapati menghina lagu kebangsaan kita.

“Perbuatan Ahli Parlimen Kuching yang juga wakil rakyat tidak boleh dibiarkan kerana boleh mempengaruhi pihak lain melakukan perkara yang sama. Mungkin pemimpin PAS, PKR dan DAP boleh membiarkan tindakan Chong Chieng Jen tapi UMNO sekali-kali tidak bersetuju dengan kebiadapan melampau ini.

“Saya mahu tanya di sini parti mana yang cuba membawa negara ini ke era komunis selain DAP yang sentiasa memainkan isu perkauman dan menghina Islam. Parti mana yang cuba mencetuskan huru hara dan melaga-lagakan antara kaum di negara ini?

“Jika pemimpin PAS mempunyai maruah dan harga diri sepatutnya mendesak DAP mengambil tindakan tegas kepada Ahli Parlimen Kuching itu. Tapi ternyata PAS sebuah parti pengecut sanggup menjadi pak turut kepada PKR dan DAP.

“Tindakan PAS sanggup bersekongkol dengan DAP dan PKR membuktikan parti itu sudah jauh terpesong dari matlamat asal perjuangannya,” katanya.

Syed Ali menyeru kepada penyokong PAS supaya kembali ke pangkal jalan dengan tidak bersubahat dengan pemimpin-pemimpin parti itu yang sanggup menggadaikan maruah Islam semata-mata kerana agenda politik.

Katanya, PAS tidak layak bersama-sama DAP dan PKR ternyata mahu menumpang pengaruh PAS untuk menambat pengundi Melayu. Syed Ali yakin dan percaya selepas DAP dan PKR mendapat apa yang dimahukan, PAS akan disingkir keluar dari Pakatan Rakyat.

“Kalau Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim boleh melanggar konsensus nasional dalam Langkah Kajang dengan mengenepikan peranan PAS begitu sahaja apatah lagi kalau dia menguasai Putrajaya.

“Siapa tak kenal Anwar Ibrahim yang sanggup melakukan apa sahaja demi agenda politiknya menjadi Perdana Menteri.

“Begitu juga DAP merupakan parti perkauman terbesar di negara ini yang perjuangan tersiratnya bertunjangkan kepentingan satu kaum iaitu orang Cina. Sebenarnya cita-cita besar DAP mahu mewujudkan sebuah negara Malaysia-Malaysian yang berpegang teguh kepada prinsip sosialis.

Perkara ini termaktub dalam Pengisytiharan Setapak yang dibuat dalam Kongres Kebangsaan DAP pada 29 Julai 1967 di Setapak, Kuala Lumpur. Pada saya DAP sebuah parti yang akan berusaha menghapuskan hak dan ketuanan Melayu kalau parti ini berkuasa,” jelasnya.

Sehubungan itu, Syed Ali mahukan PAS menjadikan muktamar kali ini sebagai medan muhasabah diri sama ada mahu kekal bersama PKR dan DAP atau terus menjadi ‘keldai politik’ kedua-dua parti tersebut.

“Tergamakkah PAS melihat umat Islam dan orang Melayu kehilangan kuasa di negara ini? Kalau ini berlaku maka PAS lah yang harus dipertanggungjawabkan oleh anak cucu cicit akan datang kerana terus merelakan parti itu menjadi ‘keldai politik’ PKR dan DAP,” katanya.

Pada masa yang sama, Syed Ali menasihatkan rakyat negara ini agar terus memberikan sokongan padu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, hanya BN yang mampu memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum di negara ini berbanding Pakatan Rakyat menjadi perosak kepada perpaduan rakyat yang selama ini berjaya dipertahankan oleh UMNO dan BN.

“Seharusnya rakyat merasa bersyukur kerana mempunyai kerajaan BN yang sentiasa memastikan kebajikan rakyat semua kaum terbela di samping berjaya mengekalkan keamanan di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.