Teguran Tun Mahathir Ibarat Seperti Bapa & Anak - Syed Ali


Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan teguran seorang bapa kepada anaknya.

“Jika ada teguran, ia bukan satu bentuk kebencian tetapi peringatan kearah penambaikan parti dan pentadbiran kerajaan,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, beliau tidak fikir Dr. Mahathir, seorang negawaran dan bekas presiden parti berniat sebaliknya apabila membuat teguran.

“Pada hemat saya, jika Dr. Mahathir tidak sayangkan Najib, sudah tentu dia tidak membuat teguran seperti itu,” ujarnya.

Katanya, mungkin ada kalanya Dr. Mahathir menegur kepimpinan Perdana Menteri tetapi dibuat secara ikhlas dan tiada berkepentingan.

“Kadangkala orang mengambil kesempatan untuk membuat tafsiran yang salah apabila Dr. Mahathir memberikan teguran tersebut,” ujarnya.

Sebagai seorang bapa, beliau berpendapat Dr. Mahathir hanya mahu memastikan anaknya berada dalam keadaan baik dan disenangi banyak pihak.

Sehubungan itu katanya, pemimpin UMNO harus menerima teguran tersebut dengan berlapang dada dan tidak terlalu prejudis.

“Apabila seorang bapa seperti Dr. Mahathir memberikan teguran atau peringatan, sudah tentu ada kebaikan dan kita perlu menerimanya dengan senang hati walaupun teguran tersebut agak pedas,” katanya.

Syed Ali menjelaskan, sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden parti, Dr. Mahathir masih sayangkan negara walaupun sudah tidak berkhidmat dalam keajaan.

Beliau bersetuju dengan pandangan Dr. Mahathir kadangkala orang di bawah memberi pendapat yang tidak tepat disebabkan ingin mengambil hati Perdana Menteri.

“Mereka yang berjawatan dalam parti dan kerajaan, sewajarnya memberikan pandangan yang ikhlas kepada Perdana Menteri,” tegasnya.

Katanya lagi, jika berlaku sebarang kemusykilan terhadap pandangan atau teguran Dr. Mahathir maka menjadi kewajipan pemimpin parti untuk menemui beliau meminta penjelasan selanjutnya.

“UMNO mempunyai Ahli MT, Setiauasaha Agung dan Setiauasaha Kerja, mereka inilah sepatutnya menemui Dr. Mahathir jika ada kekeliruan disebalik teguran tersebut,” katanya.

Syed Ali mengulas komentar Dr. Mahathir dalam ruangan blognya, chedet.com yang antara lain menyebut ada orang telah memberitahu Najib yang beliau telah memburukkan pemerintahannya.

Dr. Mahathir menulis : “saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-galanya yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya,”.

Dr. Mahathir turut menceritakan kisah dongeng berkenaan datuk-datuk istana yang tidak pernah menegur raja mereka. Suatu hari raja memasuki dewan dalam keadaan bogel. Baginda bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk dan berkata “Ya Tuanku”.

Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel”.

Maka raja pun murka akan datuk-datuknya yang tidak berkata yang benar apabila dia bogel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.