Jentera Penerangan Pemuda Akan Digerakkan Awal Di Pengkalan Kubor


“Kita akan susun jentera penerangan Pemuda UMNO lebih awal,” itu jaminan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar.

Tambahnya, pendekatan dan gerakkerja ini perlu disusun lebih awal dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor bagi memastikan kerusi berkenaan kekal milik Barisan Nasional (BN).
Justeru jelas beliau satu pertemuan bersama semua jentera penerangan Pemuda bahagian di Kelantan akan dibuat Jumaat ini bagi membincangkan pergerakan kempen dan persiapan parti.

“Pemuda pusat sudah pun mendapat maklumat dan laporan awal mengenai isu tempatan di kawasan itu termasuk kerakyatan, ekonomi dan pembangunan daripada Pemuda UMNO Negeri. Semua itu kita sudah kumpulkan dan rata-ratanya beberapa isu seperti kerakyatan perlu diselesaikan selain bagaimana ingin membantu ekonomi mereka yang tinggal bersempadan dengan negara jiran.

“Saya sudah minta Pemuda Kelantan menyediakan cadangan jadual aktiviti di kawasan berkenaan dan ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco hari ini,” ujarnya mengulas gerak kerja Pemuda menjelang PRK DUN Pengkalan Kubor.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin bahawa UMNO Kelantan diberikan tanggungjawab melakukan persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengarah Pilihan Raya peringkat negeri, diarahkan melakukan persiapan mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kubor termasuk menubuhkan jentera pilihan raya.

Mengenai calon muda yang disebut Muhyiddin, Jamawi berkata, Pemuda juga dimaklumkan mengenai hasrat pengundi di Pengkalan Kubor untuk mendapat calon tempatan dan semangat mereka untuk berkempen berhabis-habisan bagi mengekalkan kemenangan sebelum ini.

“Kita berterima kasih dengan kepercayaan pimpinan untuk mempertimbangkan kemungkinan calon muda pada pilihan raya kecil ini. Kita sambut baik dan akan memberikan komitmen tidak berbelah bagi,” katanya.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Noor Zahidi Omar dari BN, meninggal dunia ketika mendapat rawatan akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, 20 Ogos lalu. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.