“Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta" Tolak Pihak Bersifat Negatif, Burukkan Negara #Merdeka57


Tema sambutan hari kemerdekaan yang ke-57 tahun iaitu ‘Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ bertepatan dengan suasana terkini dalam memastikan setiap individu memahami dan menghargai kedaulatan sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum.

Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr Ramlah Adam menganggap bahawa tema tersebut berkait dengan semangat patriotisme iaitu setiap warga negara perlulah mempunyai semangat juang terhadap bangsa dan negaranya termasuklah mempertahankan keselamatan dan kemakmuran yang berterusan.
“Malaysia adalah tanggungjawan setiap warganya tanpa mengambil kira terhadap perbezaan kaum, agama dan kelainan budayanya malah melangkau pemikiran idealogi politik mana-mana individu pun kerana setiap orang mempunyai semangat untuk bersatu atas nama negara itu sendiri,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam hal ini beliau mengaitkan kepada pelbagai insiden yang berlaku dalam masyarakat termasuklah tindakan segelintir pihak yang menggunakan pelbagai alasan dengan mempertikaikan hak sama rata, kebebasan beragama, selain kata-kata kesat terhadap kepimpinan tertinggi termasuklah Yang di-Pertuan Agong sendiri.

“Tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian berlaku kerana mereka ini tidak faham konsep bernegara, tidak menyelami apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia malah tidak mengambil kira peruntukan undang-undang yang diaplikasi dalam Malaysia itu sendiri.

“Tema ‘Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ ini adalah alternatif utama bagi memastikan setiap individu kembali kepada jati diri sendiri dan mempertahankan negaranya dengan memahami setiap kandungan dalam Perlembagaan tanpa terikut-ikut dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.”

Jelasnya, pertikaian dan perbezaan pendapat boleh berlaku dalam masyarakat tetapi tanpa perlu menjejaskan kepentingan umum dan mengheret kepada perbalahan atau tindakan huru-hara yang boleh menjejaskan kestabilan sesebuah negara.

“Setiap individu yang menjadi warganegara perlu taat dan dan setia kepada negaranya, percaya dan yakin dengan kerajaannya dan bersama-sama menyokong kerajaan yang ada bagi memastikan kemaujaun dan pembangunan negara terbabit berterusan.

“Dalam hal ini kepentingan negara melangkaui kepentingan politik kerana mana-mana parti politik yang telah menang dalam pilihan raya adalah mereka yang layak membentuk kerajaan dan mentadbir negaranya maka pihak yang tewas perlu mengakuinya dan bersama-sama mengiktiraf serta berganding bahu untuk keutuhan sesebuah negara sebagaimana Malaysia.

“Sekiranya ada pihak yang sanggup melakukan huru-hara dan kekacauan sehingga menjejaskan nama negaranya maka mereka ini sebenarnya adalah adalah pembelot atau pengkhianat yang tidak sayangkan negaranya, tempat kelahirannya iaitu tempat bermulanya kehidupannya sehinggalah mereka berjaya,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut membidas mana-mana pihak yang masih mempertikaikan kerajaan Malaysia kerana sewajarnya setiap individu menyokong usaha kerajaan yang ada kerana ia dibentuk melalui sistem pilihan raya sebagaimana termaktub dalam perundangan.

“Jika tidak suka kerajaan Malaysia maka maknanya tidak suka dengan negara Malaysia yang samalah dengan menentang negaranya sendiri sedangkan sebagai warganegara mereka ini perlulah mengutamakan kepentingan negara tanpa apa-apa alasan pun,” katanya.

Dalam hal tersebut beliau menganggap insiden negatif sebagaimana tindakan membakar ‘Jalur Gemilang, memijaknya, mempersenda lagu kebangsaan ‘Negara-Ku’, merosakkan harta benda awam dan melakukan himpunan jalanan tidak sewajarnya berlaku.

“Mereka ini bertindak kerana tidak matang dalam berfikir yang mana meletakkan kepentingan politik dan emosi mendahului semangat patriotisme dan rasa cinta terhadap negara maka dalam hal ini amat sesuailah penghayatan kepada tema ‘Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’.

“Semua individu mesti menghayati kenegaraan yang sebenarnya, siapa diri kita dan dari mana kita bermula dengan menyemai rasa cinta kepada Malaysia iaitu tanah tempat tumpahnya darah kita, di sini kita lahir, di sini kita bermula dan di sinilah kehidupan kita maka tentunya kita perlu pelihara apa yang kita ada.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.