Cadangan Pemuda UMNO WP Dibawa Ke Pengetahuan PM - @khairykj @razlanrafii


Kerajaan dicadang membangunkan projek bandar belia di pinggir Lembah Klang membabitkan pembinaan rumah mampu milik berharga di bawah RM150,000 untuk mengatasi masalah kesukaran memiliki rumah yang dihadapi golongan itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, memorandum berhubung cadangan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbang dimasukkan di dalam Bajet 2015 yang akan dibentang kelak.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sekiranya diterima, projek perumahan rakyat (PPR) dan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) boleh dibangunkan secara tertumpu di kawasan berkenaan untuk dimiliki golongan muda yang masih bujang dan sudah berkahwin.

"Ketika ini, PR1MA dan rumah transit kita tahu masih tidak mencukupi manakala pasaran perumahan pula dibanjiri dengan rumah kos tinggi.

"Maka kami mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan pemaju swasta menambah lagi tawaran perumahan awam dan rumah mampu milik melalui bandar belia di pinggir bandar terutama sekali sekitar Lembah Klang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Utusan Malaysia hari ini melaporkan cadangan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Mohd. Rafii agar kerajaan mewujudkan makmal kajian melalui Bajet 2015 bagi mendalami isu jurang pendapatan masyarakat yang menyebabkan wujudnya masalah golongan bumiputera khususnya generasi muda hari ini yang masih tidak mampu membeli rumah sendiri.

Mohd. Razlan dilaporkan berkata, makmal ini juga perlu mengkaji tahap permintaan yang tidak seiring dengan penawaran bagi rumah kos rendah serta rumah mampu milik yang masih tidak mencukupi dalam memenuhi keperluan warga ibu kota.

Sementara itu, jelas Khairy, pemilihan lokasi boleh ditentukan di kawasan yang mengambil masa perjalanan antara 45 minit hingga sejam ke pusat bandar untuk memudahkan golongan yang bekerja.

Selain itu katanya, pembangunan kemudahan lain juga perlu disertakan seperti pusat beli-belah dan pusat riadah untuk menarik minat golongan muda membeli rumah dan tinggal di kawasan berkenaan.

"Ramai golongan belia sekarang memilih untuk tinggal di kawasan bandar kerana bagi mereka di situlah tempat yang lengkap dan dapat memenuhi setiap keperluan.

"Justeru, di bandar belia itu ada pusat beli-belah, sukan, kerohanian, hiburan dan banyak lagi untuk tarikan yang jika berjaya saya yakin akan mengatasi masalah perumahan," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.