Beberapa Jalan Raya Ditutup 29 - 31 Ogos 2014 Sempena 'Memori Chow Kit Road 2.0'


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup beberapa jalan bagi penganjuran 'Memori Chow Kit Road 2.0' di sini pada 29 hingga 31 Ogos ini.

Menurut jurucakap DBKL, acara itu akan diadakan seperti biasa kerana pihaknya tidak menerima sebarang notis bagi membatalkan pertunjukan itu.

"Kita akan mula menutup Jalan Tuanku Abdul Rahman dari persimpangan Jalan Dang Wangi hingga Jalan Essahan yang kedua-duanya berada di sebelah kompleks beli-belah Sogo bermula pukul 12 tengah malam pada 27 Ogos hingga pukul 2 petang 1 September.
"Ketika persembahan itu berlangsung, sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga kawasan di Hotel Frenz akan ditutup bagi memberi ruang kepada orang ramai menyaksikan pertunjukan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan penganjuran 'Memori Chow Kit Road 2.0' kerana program itu tidak dianjurkan seperti konsert biasa.

Jelasnya lagi, program itu akan diisi dengan lagu-lagu genre balada, patriotik dan keagamaan selari dengan suasana kesedihan berikutan tragedi MH370 dan MH17 dan memberi jaminan pihaknya akan memantau persembahan yang dibuat.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas gesaan supaya 'Memori Chow Kit Road 2.0' dibatalkan bagi menghormati negara yang berada dalam suasana berkabung.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman pula menjelaskan bahawa acara itu diadakan bagi mengimbau kembali memori 'Chow Kit Road' yang menampilkan elemen patriotisme ketika dipentaskan dalam konsert penyanyi dan pelakon Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Tambahnya, niat penganjurannya juga adalah supaya masyarakat menyelami kembali elemen patriotisme yang wujud daripada konsert lebih 25 tahun lalu dengan lagu-lagu patriotik seperti Tanggal 31 dan Warisan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.