Akhirnya Pemimpin Pembangkang Akui Betapa Kotor Dan Hodohnya Politik Mereka


Pepatah ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’ amat sesuai dengan tingkah pakatan pembangkang apabila satu persatu tuduhan yang sebelum ini dilemparkan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) terkena batang hidung sendiri.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman mengganggap bahawa apa yang berlaku sejak kebelakangan ini ibarat pekung yang terbuka lantaran sekian lama didiamkan malah cuba pula ditutup dengan mencari kesalahan kerajaan semata-mata.
“Selama ini pun pemimpin UMNO telah ramai yang mengingatkan kepada rakyat berkaitan tingkah laku buruk kepimpinan dalam pakatan pembangkang namun ramai juga yang tertipu dan memberi kepercayaan kepada mereka untuk menjadi wakil rakyat, membentuk kerajaan dan sekarang ini mereka sendiri yang saling menceritakan perihal salah laku masing-masing,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, barangkali sebelum ini rakyat tidak nampak kegagalan pakatan pembangkang kerana mereka tidak berpeluang menjadi ketua dan apabila jawatan serta pangkat telah dipikul maka banyaklah kepincangan yang terserlah.

“Macam-macam keburukan diceritakan oleh ahli-ahli pakatan pembangkang yang mendedahkan keburukan pemimpin mereka sendiri sedangkan sebelum ini antara mereka sendiri lebih cenderung menuduh UMNO dan BN dengan macam-macam tuduhan.”

Antara kepincangan yang didedahkan adalah berkaitan dengan ketidaksepakatan dalam pakatan pembangkang khususnya penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin dalam PKR sehinggakan pemimpin Pas di Negeri Kedah terpaksa menjadi kambing hitam sebagaimana yang didedahkan oleh bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah sesi yang lalu, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam perkembangan yang lain, kerajaan Negeri Selangor turut mengalami nasib yang sama apabila kerusi Menteri Besar menjadi rebutan ekoran Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mahukan isterinya yang juga Ahli Parlimen Kajang, Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengambil alih kerusi tersebut dari Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Siapa yang sebelum ini buat tuduhan macam-macam kepada kepimpinan UMNO, buruk-burukkan kerajaan dan lakukan perlbagai provokasi untuk rakyat benci kepada BN jika bukan pembangkang namun hari ini keburukan yang mereka lemparkan itu terkena diri mereka sendiri dengan ahli-ahlinya sendiri yang buat pengakuan.

“Sebenarnya inilah realiti kepimpinan dalam pakatan pembangkang yang menampakkan ketidakadilan, bersikap kroni dan hanya tahu menjaga kepentingan sendiri tanpa mengambil peduli kepada rakyat yang sebelum ini telah mengundi mereka dan mengangkat mereka menjadi wakil rakyat.”

Dalam hal tersebut, beliau juga turut menyebut berkaitan pentadbiran Dap yang juga sebenarnya banyak diselimuti dengan lakonan semata-mata biarpun melaungkan slogan ‘Cekap, Akauntibiliti dan Telus’ (CAT) sedangkan hakikatnya mereka turut mementingkan diri sendiri sebagaimana yang didedahkan oleh bekas kepimpinannya seperti bekas Naib Pengerusi Dap, Tunku Abdul Aziz Ibrahim; bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin; bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat dan ramai lagi ahlinya.

“Bayangkanlah bagaimana rupanya negara kita pada masa hadapan sekiranya pemimpin-pemimpin pembangkang yang berkuasa walhal dengan hanya mentadbir tiga negeri sahaja macam-macam kucar-kacir yang berlaku apatah lagi jika satu negara?

“Tak usahlah berfikir untuk memajukan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, untuk menguruskan pemilihan parti sendiri pun masih tunggang-langgang dan sehingga sekarang tak selesai,” katanya.

Dalam hal ini beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik mengaitkan dengan pemilihan Dap yang masih belum berkesudahan dalam pemilihan Jawatan Kuasa Pusat (CEC) dan berdepan dengan tindakan Akta Pertubuhan (ROS) sementara pemilihan PKR pula diwarnai dengan pelbagai adegan tumbuk menumbuk, baling kerusi, ‘black out’, pengiraan kertas undi dalam bilik hotel dan kertas undi lebih dari jumlah perwakilan.

“Bukan hanya pentadbiran negeri yang jadi huru-hara tapi dalam parti mereka pun berlaku perpecahan yang masing-masing saling mendedahkan keburukan antara satu sama lain tanpa perlu UMNO atau BN campur tangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli-ahli UMNO dan masyarakat umum untuk tidak mencampuri urusan dalam pakatan pembangkang sebaliknya meneruskan fokus kepada tanggungjawab dan perjuangan dalam parti sendiri.

“UMNO tidak perlu saling tuding jari, tak perlu saling cari salah sesiapa sebagaimana PKR, Pas dan Dap sendiri kerana kita mempunyai kerja yang lebih penting iaitu memastikan landasan perjuangan kita terus marak dan ahli-ahli di akar umbi terus menyokong usaha ini berterusan,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.