Usaha Murni Kerajaan Sengaja Dimanipulasi Pembangkang - Datuk Zainal Abidin


Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique hari ini menyelar tindakan pihak tertentu yang memanipulasikan kenyataan Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung gelandangan di sekitar Lembah Klang dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak matang serta cuba mahu menenggelamkan usaha murni kerajaann dalam membantu golongan gelandangan di negara ini.

Menurut beliau, apa yang perlu dilihat ialah usaha kerajaan dalam membantu gelandangan yang sedikit sebanyak mencemar imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya dengan memberikan golongan itu penempatan serta ruang dan peluang yang lebih selesa untuk diberi bantuan.
“Apa yang jelas bagi saya, ialah kerajaan hari ini menawarkan bantuan kepada gelandangan dengan memberikan lokasi spesifik yang strategik untuk gelandangan ini menerima bantuan. Jadi ianya akan menjadi lebih tersusun dan teratur dan tidak bersepah-sepah seperti yang ada hari ini.

“Kerajaan juga menyediakan tempat lokasi yang lebih selesa untuk mereka yang mana saya difahamkan ianya seperti sebuah tempat beristirehat yang turut menyediakan makanan yang berkhasiat, tempat tidur yang selesa, tempat rawatan kesihatan, kaunseling dan juga pusat pendaftaran bersepadu.

“Jadi dakwaan yang mengatakan bahawa orang ramai atau pun NGO ditegah membantu gelandangan, ataupun kerajaan menghalau golongan ini adalah satu dakwaan yang tersasar dari cerita yang sebenar. Malah kenyataan kononnya Ku Nan mengatakan bahawa pemberi sedekah juga akan disaman jika memberi bantuan kepada gelandangan juga merupakan satu cerita yang telah diputar belitkan oleh pihak tertentu bagi mencemarkan imej beliau,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Katanya lagi, hari ini golongan gelandangan dan pengemis ini tidur merata-rata di kaki lima dan ada sesetengah tempat yang menjadi tempat tidur mereka itu kotor dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit.

“Sebab itu, kerajaan berusaha untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan warga kota dengan memberikan bantuan kepada golongan gelandangan agar mereka dapat tempat tinggal dan tempat tidur yang selesa dan dalam masa yang sama dapat membenteras sindiket mengemis yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

“Untuk pengetahuan, ada diantara gelandangan itu merupakan gelandangan yang bukan OKU. Mereka cukup sifat dan masih bertenaga untuk bekerja, dan mereka ini pernah diberi bantuan oleh kerajaan bagi mengubah nasib mereka.

“Tetapi ada diantara mereka yang akhirnya kembali ke kaki lima oleh pelbagai sebab peribadi dan juga akibat masalah sikap mereka sendiri. Namun, apa yang saya lihat bahawa sehingga ke hari ini kerajaan masih tidak berputus asa untuk membantu mereka ini,” ujarnya.

Seterusnya kata Zainal lagi, apa yang ditekankan oleh Ku Nan sebagai Menteri Wilayah adalah kewujudan peminta-peminta sedekah warga asing yang mengambil kesempatan di atas kemurahan hati rakyat di negara ini.

“Hari ini memang sudah wujud sendiket peminta sedekah yang mengaut keuntungan dengan mempergunakan pengemis-pengemis asing yang kini semakin berleluasa di sekitar Kuala Lumpur. Perkara inilah yang sebenarnya diberikan penekanan oleh Menteri Wilayah agar kita tidak tertipu dan terus membantu sendiket seperti ini mempergunakan golongan gelandangan dan pengemis untuk keuntungan kocek peribadi mereka,

“Malah dalam siasatan kita mendapati bahawa ada sindiket yang beroperasi dengan membawa gelandangan ini untuk mengemis di sekitar kawasan ibu kota yang menjadi tumpuan orang ramai sehingga perbuatan mengemis ini menjadi satu kerjaya tetap buat mereka.

“Saya minta agar rakyat terlebih dulu meneliti sebarang informasi kerajaan terutamanya yang disebarkan oleh pihak pembangkang agar kita tidak terpengaruh dengan dakyah mereka yang hanya untuk menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat demi untuk memburukkan imej kerajaan yang sedia ada,” tegasnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.