UMNO Bukit Bintang Kecam Tindakan Bacul Regim Zionis

KUALA LUMPUR, 20 Julai – UMNO Bahagian Bukit Bintang hari ini mengecam tindakan regim Zionis yang melancarkan serangan terhadap Gaza dan menyifatkan tindakan ketenteraan tersebut di luar batas kemanusiaan di mana orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa turut menjadi mangsa dalam serangan tersebut.

Ketuanya, Datuk Zainal Rafique berkata, serangan tentera Zionis dalam bulan Ramadan seperti ini bukan pertama kali berlaku, bahkan ianya sudah berlarutan lebih daripada puluhan tahun, namun setakat ini tiada apa yang dapat dilakukan oleh dunia untuk menghentikan tindakan regim Zionis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan itu.


“Di sini, kita menyatakan sokongan kita terhadap penduduk Palestin, khususnya di Gaza yang sedang dilanda malapetaka akibat tindakan Zionis yang tidak berhati perut. Saya mewakili seluruh ahli UMNO bahagian Bukit Bintang mengecam dan mengutuk tindakan tersebut dan berharap ada sesuatu yang dilakukan oleh PBB mahupun OIC bagi menghentikan kekejaman ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau juga berharap dunia, terutamanya negara-negara Islam dapat memberikan tekanan terhadap regim Zionis agar menghentikan perbuatan kejam mereka itu yang telah membunuh ribuan nyawa yang tidak berdosa di Gaza.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang begitu konsisten menyokong dan membantu perjuangan rakyat di Palestin yang sedang ditindas oleh regim Zionis telah berusaha untuk membantu dengan menghantar misi-misi bantuan kemanusian, begitu juga dengan negara-negara lain.

“Namun tindakan ini saja bagi saya tidak mencukupi kerana ianya hanya dapat membantu rakyat di negara itu buat sementara waktu dan perlu ada lebih tekanan dari negara-negara dunia agar regim Zionis berhenti daripada terus menyerang dan membunuh rakyat di negara itu sesuka hati mereka,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang terlibat dalam tragedi MH17 yang terhempas Selatan Ukraine Jumaat lalu.

“Saya juga mahu mengucapkan takziah kepada PM kita, Datuk Seri Najib Tun Razak di mana nenek tiri beliau, Puan Sri SitiAmira Prawira Kusuma yang turut menjadi mangsa dalam tragedi berdarah ini. Saya juga menaruh harapan, sepertimana keseluruhan rakyat , khususnya ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut agar mereka yang bersalah di bawa ke muka pengadilan di atas perbuatan mereka itu dengan segera,” ujarnya.-MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.