Sana Bodoh, Sini Bodoh, Lama² Nanti Orang Lari Tak Datang Masjid @UstazKazimElias


Penceramah bebas, Mohd. Kazim Elias menasihatkan penyampai tazkirah selepas solat tarawih tidak menggunakan peluang itu untuk mencaci mana-mana pihak.

Sebaliknya kata beliau, slot berkenaan sepatutnya diisi dengan ilmu untuk para jemaah kerana di sepanjang Ramadan, jumlah umat Islam yang beribadat di surau dan masjid meningkat.

Tegasnya, peluang tersebut perlu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan hati mereka lebih dekat dengan masjid walaupun selepas Ramadan."Tetapi berapa banyak masjid dan surau bila datang bulan Ramadan, tazkirah yang diberikan hanya menghentam sana sini. Sana bodoh sini bodoh, lama-lama nanti orang lari tak datang masjid dah.

"Bila orang tak datang masjid, kita marah. Sebab itu kita kena bagi ceramah yang terbaik dan jangan bagi ceramah yang hanya syok sendiri," katanya dalam ceramah Ihya Ramadan anjuran Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Dewan Sri Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Exco Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid.

Menurut Mohd. Kazim, tazkirah yang diberikan juga harus menjadi penenang kepada orang lain dan jangan memberi tazkirah yang menakutkan para jemaah.

"Ini tidak, bila beri tazkirah tengok puak yang lagi satu datang, ahli jawatankuasa boleh bisik pula pada imam suruh bagi tazkirah yang menghentam puak tersebut.

"Memang seronok kalau kita tibai (hentam) orang lain, esok kita tengok tinggal kita seorang sahaja di masjid. Eloklah kalau kita beri tazkirah yang menenangkan orang lain, yang berbintang-bintang seperti sabda Rasulullah SAW 'bagi orang suka, jangan bagi orang jemu'," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menambah, bulan Ramadan patut diraikan sebagaimana mana umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Ramadan ini merupakan peluang yang Allah bagi pada kita untuk melipatgandakan amalan, kita perlu raikan Ramadan dan jangan hanya meraikan Hari Raya Aidilfitri sahaja.

"Bulan ini kita perlu hiaskan dengan al-Quran, solat, sedekah. Kalau tidak mampu bersedekah banyak, cukup hanya dengan sebiji buah kurma. Ini merupakan peluang kita untuk membuang segala tabiat buruk dan menambah pahala," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.