Khalid Ibrahim Diasak Wan Azizah & Azmin Ali


KEMELUT yang melanda PKR berhubung kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor membuktikan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak layak memegang jawatan presiden parti itu.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, keadaan itu berlaku kerana Wan Azizah tidak mempunyai pendirian dan sekadar presiden boneka.

Oleh sebab itu katanya, terdapat dua kelompok dalam PKR yang masing-masing bertegas supaya Khalid kekal sebagai Menteri Besar dan satu lagi mahukan beliau disingkirkan.
Khalid pula kata beliau, difahamkan tetap berdegil akan terus mengekalkan kedudukannya selaku Menteri Besar walaupun beliau tewas dalam pemilihan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor baru-baru ini.

“Tekanan dan kemelut politik di Selangor jelas membuktikan pemimpin mereka hanya memikirkan jawatan masing-masing,” ujarnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan.

Beliau menyifatkan perpecahan dalam PKR khususnya di Selangor sebagai ‘retak menunggu belah’.

Malah katanya, kemelut itu juga menunjukkan kerakusan pemimpin PKR berebut kuasa walaupun agenda rakyat diketepikan.

“Inilah sebenarnya wajah PKR, Khalid berdegil walaupun didesak supaya letak jawatan, Anwar pula ada agenda manakala Wan Azizah juga turut teringin jawatan Menteri Besar,” tegasnya.

Beliau berkata, situasi itu telah memberi tekanan kepada Wan Azizah kerana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan ‘budak suruhannya’ Azmin Ali menggantikan Khalid.

Katanya, umum mengetahui hubungan Khalid dengan Azmin kurang mesra dan faktor itu juga dikaitkan dengan kekalahan Khalid sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Selangor.

“Tetapi kita juga tidak boleh menolak kemungkinan Wan Azizah turut mengidam jawatan Menteri Besar Selangor setelah memenangi kerusi DUN Kajang baru-baru ini,” tegasnya.

Untuk rekod, Pakatan Rakyat (PR) menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan 44 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 12 kerusi. Daripada jumlah itu, DAP dan PAS mempunyai 15 kerusi manakala PKR, 14 kerusi.

Sebelaum ini tersebar khabar angin kononya Khalid dikatakan menghadap Sultan Selangor petang semalam berhubung kedudukannya selaku Menteri Besar.

Beberapa akhbar tempatan turut melaporkan Khalid dikatakan akan meletak jawatan petang semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali tidak menolak kemungkinan sekutu PKR dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu PAS juga turut mengidam jawatan Menteri Besar Selangor.

Oleh sebab itu katanya, mesyuarat antara pemimpin PAS Pusat dan PAS Selangor yang difahamkan diadakan di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur semalam gagal mencapai keputusan berhubung kemelut politik di negeri berkenaan.

“PAS dikatakan tidak membuat sebarang pendirian mengenai kedudukan Khalid selaku Menteri Besar, ini menunjukkan kesepakatan antara mereka sudah retak,” tegasnya.

Sumber : Syed Ali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.