Gelandangan Perlu Dibekalkan Kemahiran Sebelum Bekerja @TengkuAdnanReal


Sebahagian besar daripada golongan gelandangan di ibu negara tidak mempunyai pelajaran dan kemahiran untuk berkerja.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Mohd. Ikhsan berkata, hasil kajian Universiti Islam Antarabangsa mendapati, ada antara mereka yang pernah bekerja namun diberhentikan kerana tiada kemahiran kerja memuaskan.

Katanya, perkara itu didedahkan hasil pertemuan dengan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) untuk golongan gelandangan di Putrajaya semalam.
"Ekoran kehilangan pekerja mereka terpaksa menjadi gelandangan. Justeru, amat penting bagi seseorang itu mempunyai latar pendidikan yang tinggi supaya tidak terjebak menjadi gelandangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pelajaran kepada Pelajar-pelajar Tajaan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Adnan mewakili Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis itu.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Roslan Hassan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib; Pengerusi YWP, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Zakaria Isa.

Pada majlis itu, seramai 257 pelajar dari Wilayah Persekutuan menerima biasiswa pendidikan antara RM500 sehingga RM2,000.

Adnan berkata, selain masalah gelandangan, gejala rempit juga didapati masih berleluasa di sekitar ibu negara.

"Bagi mengatasi masalah itu, kita perlu memastikan tiada anak-anak yang tercicir dalam pelajaran bagi menjamin masa depan mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.