Tiada Kenaikan Kadar Baharu Cukai Pintu #DBKL #TerimaKasih @TengkuAdnanReal



Kenaikan kadar baharu cukai pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dihadkan kepada hanya 10 peratus bagi unit kediaman dan 25 peratus bagi premis komersial.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan tersebut merupakan hasil penilaian semula ke atas pegangan unit hartanah di ibu kota yang dilaksana DBKL sejak tahun lepas.

Katanya, keputusan mengehadkan kadar cukai taksiran bagi tahun 2014 dibuat selepas dipersetujui oleh Kabinet pada mesyuarat dua minggu lepas."Kita mungkin menimbangkan untuk melanjutkan kadar ini untuk tahun depan namun jika ada peningkatan atau penurunan peratusan ia bergantung kepada keadaan semasa dan keupayaan rakyat untuk membayar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi TownHall Keputusan Penilaian Semula Hartanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya, kenaikan itu akan melibatkan 201,238 unit rumah kos tinggi, lot tanah kosong (10,445), bangunan dan tanah kosong kampung tradisi (3,199) dan pangsapuri servis (16,940).

"Selain itu, sebanyak 81,272 unit bangunan komersial dan 1,277 lot tanah komersial pula akan mengalami kenaikan cukai daripada jumlah yang dibayar pada tahun 2013.

Bagaimanapun, katanya, sejumlah 166,890 pemilik hartanah terutama kediaman kos rendah, sederhana rendah dan tinggi bakal menikmati penurunan cukai pintu berikutan kadar baharu itu manakala 16,491 unit kediaman pula tidak mengalami sebarang perubahan.

Sebelum ini, sejumlah 235,374 daripada 497,730 pemilik hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerahkan surat bantahan kerana tidak berpuas hati dengan cadangan Nilaian Tahunan yang dimaklumkan melalui notis bertarikh 18 November 2013.

Bagaimanapun, cuma 36,041 pemilik hartanah yang hadir ketika sesi bantahan yang dijalankan dari 6 Januari hingga 31 Mac lalu.

Tengku Adnan berkata, pihaknya turut menyediakan rebat cukai pintu sebanyak 10 peratus yang akan diberikan kepada golongan orang kurang upaya, pesara dan pemilik yang menduduki sendiri kediaman mereka.

"Insentif ini bagi mengurangkan bebanan golongan tersebut dan sehingga 31 Mac lalu, kami sudah menerima lebih 17,000 permohonan rebat berkenaan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan keputusan itu, tambahan hasil cukai pintu hanya meningkat sebanyak 15 peratus dan ini bermakna DBKL masih memerlukan dana tambahan bagi menampung kos operasinya.

"Kita mengira cukai untuk tahun ini dahulu kerana tahun depan kita tidak tahu lagi keadaannya. Ini semua bergantung kepada ekonomi negara dan kerajaan tidak akan membebankan rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.