Kaji Semula Tarif Kemiskinan - Datuk Ahmad Fauzi #1Malaysia @TengkuAdnanReal @NajibRazak


Kerajaan disaran menaikkan kadar tarif kemiskinan untuk mereka yang layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan golongan miskin bandar turut sama dibantu.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari masih ramai warga kota yang berpendapatan cuma RM1,200 sebulan dan tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga gagal memohon bantuan daripada JKM.Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menaikkan kadar tarif tersebut daripada RM750 kepada RM1,500.

"Di kawasan Parlimen Setiawangsa, ramai penduduk yang memohon bantuan JKM tetapi tidak layak ekoran kadar pendapatan yang ditetapkan bagi sebuah keluarga miskin ialah sebanyak RM750 sebulan.

"Pada pendapat saya, keluarga yang tinggal di ibu negara dengan pendapatan RM1,200 sebulan dikategorikan sebagai golongan miskin bandar dan sewajarnya mendapat bantuan daripada jabatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Ramah Mesra Wakil Rakyat Bersama Anak Yatim Dan Fakir Miskin Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Parlimen Setiawangsa di Taman Kejiranan Air Panas dekat sini, hari ini.

Seramai 42 penduduk di PPR dan PA di kawasan Parlimen tersebut menerima bantuan wang tunai sebanyak RM50 setiap seorang, hamper dan makanan.

Mereka terdiri daripada fakir miskin, anak yatim dan anak-anak istimewa yang dibantu menerusi kutipan amal Persatuan Jalinan Kasih Setiawangsa dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiawangsa.

Fauzi memberitahu, pada masa ini sebanyak 1,089 penduduk di kawasan Setiawangsa layak menerima bantuan JKM.

Dalam pada itu, ujarnya, permintaan untuk mendiami rumah PPR atau PA juga semakin meningkat setiap tahun ekoran kos hidup yang tinggi di ibu negara.

"Buat masa ini, kira-kira 9,000 unit PPR dan PA di Parlimen ini dihuni sekali gus membuktikan Kuala Lumpur mempunyai jumlah golongan miskin bandar paling besar," ujarnya.

Katanya, beliau akan membangkitkan isu kepada pihak kerajaan dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian dan membantu golongan miskin bandar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.