#Terengganu : Tidak Wajar Tunding Jari Kepada Tengku Adnan @TengkuAdnanReal


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, adalah tidak wajar menunding jari kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kemelut politik di Terengganu.

Beliau berkata, pertukaran Menteri Besar di negeri berkenaan merupakan perkara biasa dan perlu dihormati oleh pemimpin parti.

Katanya, perlantikan atau pertukaran ketua kerajaan negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) terletak kepada budibicara Perdana Menteri setelah mengambil kira pelbagai sudut.Justeru tegas beliau, tidak sepatutnya ada pihak menunding jari meletakkan kesalahan kepada Tengku Adnan berhubung perletakkan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

"Tengku Adnan hanya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, tidak timbul soal cekap atau tidak mengurus peralihan kuasa," ujarnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuanmenjelaskan, Tengku Adnan telah menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pucuk pimpinan parti.

Selaku Setiausaha Agung UMNO kata beliau, Tengku Adnan telah menjalankan kewajipannya dengan baik sepertimana yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan parti.

"Jadi, kenapa ada pihak yang mahu Tengku Adnan bertanggungjawab dalam hal tersebut, ini masalah parti bukannya masalah peribadi," tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamamd Azli Mohamed Saad bahawa Tengku Adnan perlu bertanggungjawab terhadap kemelut politik UMNO di Terengganu yang menyaksikan bekas Menteri Besarnya, serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan keluar daripada parti dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Mengulas lanjut, Syed Ali menyifatkan desakan Mohamad Azli yang mahu Tengku Adnan meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO sebagai tidak berasas.

Katanya, kenyataan Mohamad Azli seperti yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysiahari ini (Rabu) dilihat seperti cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan tertentu.

Menurut beliau, sebagai pemimpin di peringkat bahagian, Mohamad Azli perlu melihat daripada perspektif yang lebih luas berhubung isu tersebut dengan tidak menunding jari kepada pihak lain.

"Mengapa tiba-tiba dia salahkan Tengku Adnan, apakah ada agenda disebaliknya," tegasnya.

Syed Ali menegaskan, pada hemat beliau tidak ada kewajaran untuk Tengku Adnan dipersalahkan berhubung isu berkenaan.

"Mengapa pula Tengku Adnan harus letak jawatan, ini soal pelan peralihan kuasa yang sudah dipersetujui oleh bekas Menteri Besar Terengganu sebelum ini.

Beliau berkata, Mohamad Azli tidak sepatutnya 'mengapi-apikan' kemelut di Terengganu kerana dikhuatiri akan dieksploitasikan oleh pembangkang.

"Mengapa beliau nak heret Tengku Adnan dalam kemelut itu, sepatutnya kita selaku pemimpin UMNO sentiasa akur dengan apa jua keputusan pucuk pimpinan," katanya.

Menurut beliau, isu bekas Menteri Besar Terengganu akan mengadakan kenduri kahwin anaknya yang dikatakan pada 17 Mei ini bukan alasan yang rasional mengapa dia keluar parti.

"Dia (Ahmad) tahu bahawa penamatan tempohnya sebagai Menteri Besar akan berlaku sebelum 17 Mei, jadi mengapa tidak dibuat majlis berkenaan terlebih awal daripada tarikh tersebut," soal beliau lagi.

"Awal-awal lagi beliau sudah tahu tarikh peralihan kuasa (akan diberhentikan), jadi sepatutnya carilah alternatif lain bagi memeriahkan majlis perkahwinan tersebut.

Oleh sebab itu kata beliau, adalah tidak munasabah alasan Ahmad yang memohon pertukaran dibuat selepas majlis perkahwinan anaknya tidak dilayan oleh Perdana Menteri.

Dalam hal ini jelas beliau lagi, rakyat akan melihat tindakan Ahmad keluar UMNO hanya disebabkan tarikh pernikahan anaknya sebagai alasan tidak masuk akal.

"Kita tahu beliau juga berjasa kepada UMNO Terengganu, tetapi sepatutnya terima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak terburu-buru keluar UMNO dan jadi wakil rakyat Bebas," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.