Tahniah Utusan Malaysia Prihatin Masalah Gelandangan #1Malaysia @utusan_malaysia


Semuanya bermula selepas jurugambar Utusan Malaysia, Amir Hafiz Abd. Rahman ternampak kelibat empat kanak-kanak gelandangan sedang bermain di bawah jambatan di Lebuh Pasar Besar di sini pada minggu lalu.

Selepas dia menghampiri kanak-kanak tersebut dan bertanya lebih lanjut maka terbongkarlah kisah hidup kanak-kanak berkenaan bersama ibu bapa mereka yang mendiami kawasan itu sejak Jun tahun lalu.

Kesempitan hidup memaksa keluarga ini hidup gelandangan dengan bergantung harap kepada ihsan orang ramai untuk memberi sesuap nasi bagi mengisi perut.Seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini, keluarga terbabit tidak mempunyai tempat berteduh daripada hujan dan panas serta menjadikan jambatan konkrit tersebut sebagai rumah mereka.

Tinjauan yang dibuat sekali lagi di bawah jambatan di Lebuh Pasar Besar di sini hari ini mendapati, keluarga tersebut baru sahaja bangun daripada tidur dan kanak-kanak terbabit sudah mula bermain serta berlari-lari ke sana sini.

Penulis dan jurugambar turun serta-merta ke lokasi terbabit bagi mendekati keluarga itu dan mendapatkan maklumat mengenai kisah hidup mereka.

Seperti yang dijangka, bapa kepada empat kanak-kanak terbabit, Ishak Jalil, 49, dan isterinya, Juliana Jalil, 29, tidak mengetahui laporan yang disiarkan Utusan Malaysia mengenai kehidupan daif mereka di kawasan itu.

Walaupun pada mulanya terkejut dengan kehadiran kami, dia tetap tenang menghadapi situasi itu apabila kami memperkenalkan diri masing-masing.

Menurut pasangan itu, anak-anak mereka tidak mempunyai rakan-rakan selain sesama adik beradik tersebut kerana tidak berpeluang bersekolah seperti kanak-kanak yang lain.

Mereka juga hanya mengisi masa lapang dengan membaca buku hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan dan memancing ikan.

Lebih menyedihkan, salah seorang daripada adik-beradik itu yang merupakan anak sulung, Norazman, 10, adalah orang kurang upaya dan amat memerlukan perhatian.

Penulis tersentuh seketika apabila dia datang ke arah penulis sambil memeluk serta meminta supaya diajar cara-cara menulis, melukis dan mewarna kerana tidak pernah diberi pendidikan formal mengenai kemahiran tersebut.

Ketika itu terbayang bagaimana sukarnya hidup anak-anak kecil ini tidur di bawah jambatan sedangkan kanak-kanak seusia mereka boleh lena dan mengecap nikmat mempunyai rumah yang selesa atau setidak-tidaknya mempunyai bilik tidur.

Kedatangan wartawan Utusan Malaysia hari ini turut membawa berita gembira buat keluarga ini apabila disertai oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Wan Muhammad Ghazali Nor serta pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Kehadiran mereka dengan satu matlamat iaitu memindahkan keluarga itu dari bawah jambatan ke sebuah rumah di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang di sini bagi keselesaan hidup mereka.

Keluarga ini sepatutnya memasuki rumah di bawah kendalian DBKL itu sejak bulan lalu, namun hasrat itu tidak menjadi kenyataan kerana Ishak dan Juliana tidak mampu menyediakan wang bagi membuat pe­nyambambungan bekalan elektrik ke rumah berkenaan.

Sebaik pihak DBKL dan MAIWP memberi komitmen untuk memastikan mereka berpindah serta-merta ke rumah yang memiliki tiga bilik itu, anak-anak pasangan itu berteriak riang.

Dalam masa beberapa minit, semua pakaian dan barangan mereka dikumpul dan diangkut ke perumahan tersebut sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidup keluarga gelandangan ini.

Kegembiraan jelas terbayang di wajah anak-anak ini sebaik melangkah masuk ke kediaman baharu di pangsapuri 20 tingkat itu.

Paling penting, keluarga ini sudah mempunyai sebuah rumah untuk berteduh. Walaupun tanpa perabot dan televisyen, sekurang-kurangnya mereka tidak perlu tidur bertemankan bunyi cengkerik dan gigitan nyamuk di bawah jambatan berhampiran Sungai Klang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.