Rizalman Bidas Kenyataan Timbalan Ketua #UMNO Petaling Jaya Utara #1Malaysia @TengkuAdnanReal @rizalmanmokhtar

Merujuk kenyataan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, saudara Mohamad Azli Mohemed Saad dalam Utusan Malaysia hari ini (14 Mei 2014) yang menggesa YBM Datuk Seri Tengku Adnan Bin Tengku Mansor meletakkan jawatan atas alasan kegagalan menguruskan kontroversi peralihan teraju kepimpinan negeri Terengganu.


Saya berpendapat, kenyataan peribadi yang dibuat saudara Mohamad Azli berkaitan perkara tersebut tidak membantu langsung untuk memulihkan keadaan dan imej UMNO terutama dalam semangat UMNO baru meraikan ulang tahun ke 68.

Sebagai pemimpin parti seharusnya beliau lebih memahami kepentingan untuk setia kepada parti berbanding mempertahankan pemimpin secara peribadi. Kita di peringkat bawahan mungkin tidak mengetahui realiti yang sebenar yang berlaku. Amat tidak wajar beliau terus menjatuhkan hukuman pada Datuk Seri Setiausaha Agung yang saya percaya telah menggunakan semua kaedah yang ada untuk melaksanakan proses peralihan kuasa supaya berjalan dengan lancar dan tidak merosakkan mahupun menyusahkan parti.

Saya tidak fikir isu untuk mengadakan majlis perkahwinan anak Dato' Seri Ahmad Said harus dijadikan perkara pokok yang mana kita lihat sekarang ini ianya menjadi bahan perbualan dan pendebatan sehingga kita terlupa perkara asas yang utama iaitu terdapat perjanjian telah dibuat seawal tahun lepas dengan Ahmad Said untuk memegang jawatan tersebut selama setahun sebaik sahaja keputusan Pilihanraya ke 13 diperolehi.

Sepatutnya beban kesalahan diletakkan kepada mantan Menteri Besar ini yang secara jelas tidak menghargai UMNO dan mengkhianati semangat perjuangan parti keramat ini yang telah meletakkan beliau ke satu tahap yang tinggi sebagai Menteri Besar Terengganu.

Seharusnya juga, Dato' Seri Ahmad Said meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi dan menjadi contoh kepada generasi baru serta ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan yang selama ini bekerja untuk parti tanpa mengharap sebarang balasan keistimewaan seperti mana yang beliau pernah kecapi sebelum ini.

Jika sebelum ini, beliau sentiasa menyeru serta melaungkan pada ahli UMNO supaya menghormati keputusan parti dan kepimpinan parti. Saya kira sudah tiba masanya beliau sendiri menunjukkan contoh dan tauladan dengan mempraktikkan apa yang diungkapkan agar akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti dan menerima secara terbuka pemimpin baru yang telah dilantik.

DATUK RIZALMAN BIN DATO' MOKHTAR
Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.