Malaysia Desak Siasatan Terperinci Kes Pelajar Dirogol #1Malaysia


Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia mendesak agar siasatan terhadap kes seorang pelajar Malaysia di Universiti Padjajaran (Unpad) di Jatinangor, Bandung yang disyaki diculik, dirompak dan cuba dibunuh pada 16 Mei lepas, diselesaikan segera.

Duta Besar Malaysia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, siasatan itu perlu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak pihak tertentu membuat andaian atau spekulasi terhadap kes berkenaan.
"Kami sudah berbincang dengan pihak Unpad dan polis Indonesia dan mereka memberi jaminan menjalankan siasatan dari setiap sudut."Insiden ini tidak sepatutnya berlaku. Perlu tindakan tegas supaya ia tidak berlaku lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Unpad dan wakil Interpol Indonesia, di pejabat kedutaan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun dan merupakan pelajar perubatan, dikatakan dipanggil seorang lelaki yang menunggu di belakangnya sejurus mengeluarkan sejumlah wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan kampusnya.

Lelaki itu kemudian menekup mulut mangsa, lalu menarik ke dalam kereta.

Mangsa ditemui kira-kira 3 pagi pada keesokannya dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di Lembang, kira-kira 40 kilometer dari lokasi dia diculik.

Mengulas lanjut, Zahrain berkata, kes berkenaan kini disiasat oleh Polis Daerah Jawa Barat dengan bantuan Interpol Indonesia yang akan bekerjasama dengan Interpol Malaysia bagi menangani kes berkenaan.

"Pasukan penyiasat Polda Jawa Barat dijangka ke Malaysia untuk mendapatkan keterangan daripada mangsa. Sebelum ini, polis sudah ambil keterangan, namun tidak lengkap kerana ketika itu, mangsa masih trauma," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.