Kondominium Pilihan Warga Kota #KualaLumpurCeria


Permintaan terhadap unit kediaman mewah iaitu bagi kategori harga melebihi RM500,000 di ibu negara terus meningkat sejak empat tahun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia menunjukkan permintaan bagi kediaman mewah masih popular, terutamanya bagi kondominium atau pangsapuri yang menguasai kira-kira 13.6 peratus daripada jumlah transaksi hartanah tahun lalu.“Daripada jumlah tersebut, Kuala Lumpur dan Selangor menyumbang sebanyak 70.4 peratus daripada keseluruhan transaksi jenis perumahan terbabit," katanya semasa perasmian Residensi Damansara, Glomac Damansara di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Glomac Berhad, Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din; Timbalannya, Datuk Richard Fong dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, pembinaan kediaman perlu dipertingkatkan bagi menampung permintaan dan penambahan penduduk serta tenaga kerja di projek mega, Greater Kuala Lumpur-Klang Valley.

Katanya, langkah tersebut amat penting dalam menjadikan ibu negara sebagai destinasi pilihan kepada pelabur asing.

“Populasi penduduk di Greater KL yang dirancang kerajaan itu di­jangka meningkat daripada enam juta kepada 10 juta orang dalam tempoh enam tahun lagi.

“Saya yakin objektif projek Greater KL untuk membangunkan bandar raya yang paling selesa untuk didiami boleh dicapai berkat usaha dan kerjasama berterusan antara pihak kerajaan dan swasta," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.