Hayati Perjuangan Dengan Terus Berkhidmat Untuk Rakyat #1Malaysia @TengkuAdnanReal


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua ahli-ahli UMNO di setiap peringkat untuk meraikan sambutan hari UMNO ke-68 dengan memperingati perjuangan parti.

Katanya program berkenaan bukanlah khusus kepada anggota UMNO sahaja tetapi juga memberi implikasi kepada masyarakat tempatan khususnya untuk mengenang kembali perjuangan negara dan bangsa Melayu dan selain mengingati para pemimpin lalu.“Saya berharap tiap-tiap cawangan, bahagian dan negeri akan mengadakan sekurang-kurangnya tahlil dan doa selamat agar parti kita akan terus bergerak ke hadapan dan memastikan negara kita tidak terganggu gugat,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam hal ini, beliau turut berharap agar generasi muda turut sama dilibatkan dalam pelbagai aktiviti UMNO agar mereka dapat memahami dan menghayati betapa pentingnya sebuah parti siasah seperti UMNO kekal, bukan hanya dulu dan kini tetapi selamanya.

“Walaupun usia UMNO 68 tahun namun parti ini merupakan satu parti politik yang selalu melihat bagaimana untuk memperbaharui dan mengikut zaman dengan para pemimpinnya sentiasa pastikan bahawa UMNO kekal segar dan di sokong oleh semua masyarakat di negara ini.

“Marilah kita bersama-sama menghayati perjuangan UMNO. Selama 68 tahun ia telah wujud bagi memastikan agama dan bangsa kita tidak diganggu gugat dan negara kita menjadi maju malah apa yang kita nikmati hari ini adalah kerana kewujudan UMNO.”

Tegasnya, hasil kesinambungan perjuangan UMNO telah membawa kesejahteraan sehinggakan rakyat keseluruhannya mendapat nikmat dalam keadaan negara yang aman dan sentosa, mencapai kemajuan dan mempunyai satu dasar serta dan matlamat untuk masa depan.

“Saya berharap agar ahli-ahli UMNO dapat menjadi satu iktibar atau contoh kepada masyarakat iaitu mesti melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, yang penting tugas sebagai pemimpin ditunaikan maka tentunya pihak lain akan melihat UMNO sebagai parti yang amanah untuk masa depan anak bangsa.”

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan tidak menafikan terdapat segelintir golongan bandar memandang sepi terhadap UMNO namun beliau percaya dengan pendekatan yang telah dirancang maka tentunya sokongan mereka akan kembali bertaut.

“Saya telah arahkan supaya tiap-tiap bahagian di Wilayah ini agar mempunyai pendekatan berkait dengan masyarakat. Cogan kata kita sendiri iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ amat tepat khususnya berkhidmat dengan masyarakat agar mereka tahu bahawa UMNOlah yang memperjuangkan segala-galanya sama ada di bandar atau pun di desa.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.