DAP Perlu Jawab Isu Ketelusan CEC #1Malaysia


Pucuk pimpinan tertinggi DAP diminta tampil memberi penjelasan dan menjawab pelbagai persoalan berhubung ketelusan parti itu dalam menjalankan pemilihan Jawatan­kuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dibangkitkan oleh beberapa bekas ahlinya.

Ketua Biro Pengaduan dan Per­khidmatan Awam MCA, Jason Teoh Siew Hock berkata, pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) juga perlu bertindak untuk menyiasat perkara itu dan jangan membiarkannya begitu sahaja.Menurutnya, pihaknya membangkitkan isu itu setelah mendapat aduan daripada bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Nesa, S. Kogilavani dan beberapa bekas ahli parti tersebut yang menyuarakan persoalan tentang proses pemilihan semula CEC DAP yang diadakan pada September tahun lalu.

“Kogilavani bersama-sama dengan kira-kira 20 bekas ahli DAP seumur hidup telah berkunjung ke pejabat ROS di Putrajaya dan menghantar memorandum berhubung perkara ini, namun masih tiada jawapan balas.

“Perkara ini telah banyak dibangkitkan Kogilavani kerana walaupun telah mengumumkan keluar daripada DAP, beliau masih menerima surat sebagai perwakilan parti dan boleh mengundi dalam pemilihan semula tersebut," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Sementara itu, Kogilavani ber­kata, sebelum ini, beliau sudah membangkitkan perkara terbabit iaitu berhubung ketelusan DAP dalam menjalankan pemilihan semula CEC, namun tiada mana-mana pihak tampil menjawab persoalan diutarakan.

“Saya mempunyai bukti dan bukannya menuduh secara melulu apabila mempertikai ketelusan mereka. Apabila saya bertemu dengan beberapa pemimpin tertinggi parti, ternyata mereka sendiri tidak dapat memberikan jawapan.

“Oleh demikian, saya memberi tempoh tiga hari kepada pucuk pimpinan parti, khususnya Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang untuk tampil membuat kenya­taan balas," ujarnya.

Kogilavani berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk berkunjung ke Teluk Intan, Perak untuk bertemu dengan pucuk pimpinan DAP yang sedang berkempen menghadapi pilihan raya kecil (PRK) tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.