DAP Pengamal Tegar Nepotisme, Kronisme & Diktator - Datuk Zainal Abidin #1Malaysia @NajibRazak



Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Abidin Bin Mohd Rafique menyelar sikap kepimpinan DAP yang gemar menuduh UMNO mengamalkan nepotisme, kronisme dan pentadbiran ala diktator di mana hakikat sebenarnya, parti tersebutlah yang menjadi pengamal tegar kepada amalan nepotisme, kronisme dan diktator di dalam pentadbiran mereka.

DAP katanya boleh diibaratkan seperti si pencuri yang sentiasa menjerit orang lain mencuri.

Menurut beliau, pendekatan politik songsang seperti itu yang menjadi amalan di dalam DAP tidak dapat disembunyikan lagi, dan terbukti apabila jawatan di dalam kepimpinan parti tersebut hanya dikuasai oleh anak beranak dan kaum kerabat dari golongan tertentu di dalam parti tersebut.

“Sebagai contoh, DAP yang dikuasai oleh dinasti Lim dan Karpal ternyata sudah menidakkan lebih 800 hak ahli DAP dalam pengundian CEC baru-baru ini. Sehingga ke hari ini, isu pemilihan CEC masih lagi tidak selesai dan suara lebih 800 ahli DAP yang dinafikan hak mereka sehingga ke hari ini lagi tergantung.

“Begitu juga dengan isu pilihanraya kecil di Bukit Gelugor. Antara nama calon yang disenaraikan ialah salah seorang anak mendiang karpal, Ram Karpal. Mengapa ianya tidak diberikan kepada orang lain? Kerusi Parlimen Bukit Gelugor bukan kerusi warisan keturunan keluarga tertentu. Ini jelas memperlihatkan sikap nepotisme di dalam kepimpinan DAP hari ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau meminta agar kepimpinan DAP agar melihat dan menyelesaikan kepincangan pentadbiran di dalam parti mereka sendiri terlebih dulu, sebelum memperlekehkan parti-parti lain, khususnya UMNO dan juga kerajaan.

“DAP kalau bab mengkritik, nombor satu. Dalam isu kehilangan MH370 baru-baru ini, bukan main lantang kepimpinan DAP memperlekehkan usaha kerajaan. Kononnya kalau dibenarkan DAP mencari MH370 itu, sekejap saja mereka akan jumpa. Mereka hanya tahu kritik, tetapi tidak tahu dan tidak ada idea untuk membantu.


“Begitu juga dengan UMNO. Apa yang DAP tidak kata pada UMNO? Kononnya pemilihan UMNO tidak telus, wujudnya amalan kronisme, diktatorship, rasuah dan sebagainya di dalam UMNO. Hakikatnya mereka yang bersikap begitu. Mereka kata UMNO untuk mengalih pandangan rakyat dari sikap buruk mereka itu.

“Pemilihan CEC merupakan satu bukti yang paling jelas di mana kepimpinan DAP yang sedia ada takut untuk bertanding secara gentleman, dengan itu maka 800 lebih ahli DAP yang berhak mengundi dinafikan haknya. Bahkan pendedahan Tunku Aziz, bekas Naib Presiden tentang amalan rasuah kepimpinan DAP sudah cukup untuk membuktikan amalan songsang kepimpinan tertinggi parti tersebut,” ujarnya.

Justeru itu kata beliau, rakyat perlu menilai dan meneliti bagaimana pemimpin yang tidak mampu untuk memimpin partinya dengan baik, serta mengamalkan amalan kronisme, nepotisme dan diktator mampu untuk mentadbir negara dengan baik.

“Kita mesti menilai dan mengkaji terlebih dulu apa yang disampaikan oleh pembangkang. Jangan terus percaya dan kemudiannya kita sebarkan pula berita tidak sahih itu. Sikap mereka yang suka menabur fitnah, serta melaga-lagakan antara orang Melayu dan kaum-kaum lain, sudah cukup terbukti hari ini.

“Cara berpolitik DAP bukanlah satu cara dan pendekatan yang boleh kita terima di dalam negara ini. Sikap mereka yang suka menghasut, membuat propaganda dan fitnah ini hanya akan mendatangkan mudarat kepada negara yang berbilang bangsa dan kaum seperti di Malaysia,” ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.