5 Agensi Atasi Kesesakan Di #KualaLumpur #1Malaysia @TengkuAdnanReal


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan empat agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBos) bagi meningkatkan sistem pengurusan lalu lintas di ibu negara yang menerima kemasukan kira-kira 2.4 juta kenderaan setahun.

Agensi yang akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah kesesakan di Kuala Lumpur itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Star Radio Group.Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerjasama itu dibuat susulan daripada Bengkel NBos yang dijalankan pada September tahun lalu bertujuan mencari idea-idea baharu yang boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Jelasnya, dalam bengkel tersebut, empat prosedur operasi standard (SOP) yang menjurus kepada aspek pengurusan lalu lintas telah diwujudkan iaitu Pengurusan Insiden, Penyebaran Maklumat, Perkongsian Logistik dan Pengurusan Trafik.

“Pengurusan Insiden melibatkan langkah-langkah dalam menguruskan insiden seperti kemalangan, bencana alam dan kerosakan di jalan raya. Aspek Penyebaran Maklumat pula bertujuan memastikan maklumat trafik atau insiden dihebahkan secara cepat dan berkesan.

“Selain itu, Perkongsian Logistik melibatkan pemberian bantuan logistik dan sumber kepada sebarang insiden manakala Pengurusan Trafik membabitkan langkah merancang, melancar dan mengurangkan kesesakan trafik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili DBKL dalam upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi-agensi tersebut di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh; Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman; Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Ismail Salleh dan Ketua Pegawai Operasi Star Radio Group, Kudsia Kahar.

Turut sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal memberitahu, DBKL telahpun melaksanakan salah satu projek NBos iaitu Sistem Maklumat Panduan Meletak Kenderaan (PGIS) bagi membekalkan dan menyalurkan maklumat status kekosongan tempat letak kenderaan di sekitar Bukit Bintang.

“Dalam projek tersebut, DBKL telah bekerjasama dengan tujuh pusat beli-belah iaitu Sungei Wang, Plaza Low Yat, Lot 10, Fahrenheit, Pavilion, Starhill dan KLCC.

“Kerjasama antara mereka menjadi rangsangan kepada usaha-usaha pentadbiran DBKL dalam meneruskan projek pengurusan lalu lintas," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.