Merealisasikan Transformasi Pengangkutan Awam Kerajaan #BarisanNasional #1Malaysia


Aspek keselamatan di semua Stesen Monorel KL akan dipertingkatkan bagi mengelak risiko kemalangan dalam kalangan penumpang semasa menunggu tren.

Naib Presiden II Seksyen Monorel Jabatan Tren Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Shah Hazli Shahurudin berkata, pihaknya telah mula membina Sistem Pagar Automatik Platform (PAGS) di setiap stesen yang hanya akan terbuka apabila tren tiba dan berhenti.

Ujarnya, pemasang-an pagar itu dapat menghalang penumpang daripada terjatuh ke landasan sekali gus mengelak kemalangan tidak diingini.“Pada masa ini, ramai yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan tren monorel ke pejabat atau berkunjung dalam kawasan pusat bandar raya dan kita perlu pastikan keselamatan mereka terjamin.

Platform menunggu tren di stesen-stesen yang terdedah tanpa pagar boleh mengundang padah dan kita tidak dapat menjangka malapetaka yang akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membawa wakil media melawat dan menaiki tren empat gerabak yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2015 di depot baharu berdekatan stesen KL Monorel Tun Sambanthan di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Presiden Eksekutif Jabatan Tren Prasarana, Muhammad Isom Azis.

Tren baharu yang kini berada di depot itu menjalani ujian dinamik antara lain tentang kecekapan sistem brek dan pintu, setiap hari dari pukul 12.30 malam hingga 4.30 pagi.

Sementara itu, Shah Hazli memberitahu, tren baharu itu bukan sahaja memiliki ciri-ciri keselamatan lebih baik malah mesra orang kurang upaya (OKU) antaranya ruang kerusi roda khas lengkap dengan tali pinggang keselamatan, sistem kamera litar tertutup serta alat pengesan asap.

“Setiap permukaan lantai stesen juga dilitupi jubin khas yang boleh menjadi panduan kepada OKU sama ada untuk menuju ke tren atau keluar dari stesen," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang yang mengalami masalah penglihatan, Nakasha Mohsin, 22, memuji pembaharuan di stesen KL Monorel kerana ia membantu penumpang OKU untuk menggunakan pengangkutan tersebut.

“Sebagai contoh, permukaan lantai baharu membantu melancarkan perjalanan saya kerana terdapat panduan untuk melencong ke kiri atau kanan sekali gus mengelak daripada terlanggar orang lain atau tersalah arah," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.