Jalan Rosak & Berdebu Angkara Lori #1Malaysia #DBKL @TengkuAdnanReal


Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Bukit Jalil dekat sini merayu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka selama ini.

Mereka mendakwa berdepan pelbagai masalah berikutan aktiviti-aktiviti projek pembinaan yang rancak dijalankan berhampiran PPR berkenaan.

Keadaan tersebut bertambah teruk apabila lori yang melebihi tiga tan menjadikan jalan di situ sebagai laluan utama untuk keluar masuk setiap hari.

Selain pencemaran habuk, debu tanah dan bunyi, masalah kerosakan jalan yang teruk dan sistem perparitan tersumbat turut menghantui penduduk.Penduduk mendakwa, aduan telah dikemukakan kepada pihak berwajib, namun masalah tersebut masih berterusan dan bertambah teruk sejak kebelakangan ini sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia ke PPR berkenaan baru-baru ini mendapati permukaan bahu jalan sepanjang 100 meter di kawasan itu yang menjadi laluan utama penduduk dipenuhi tanah merah dan debu.

Tidak cukup dengan itu keadaan jalan di situ rosak teruk angkara kenderaan berat yang keluar masuk melalui jalan di situ.

Jika pihak bertanggungjawab tidak segera bertindak, penduduk bakal berdepan masalah pencemaran debu yang teruk sehingga menjejaskan kehidupan dan kesihatan mereka.

Berdasarkan pemerhatian, keselamatan penduduk turut terancam ekoran tindakan segelintir pemandu lori yang memandu laju di kawasan perumahan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Kampung Muhibbah Fasa Dua, Mohd. Zairi Rasidi Abd. Hadi berkata, kegagalan DBKL melakukan pemantauan berterusan dan tindakan penguatkuasaan menyebabkan pemandu lori bebas keluar masuk menggunakan jalan di situ.

Menurutnya, kehadiran puluhan lori yang melalui jalan tersebut amat membimbangkan.

“Keadaan itu juga menyebabkan debu berterbangan sehingga penduduk terpaksa menutup tingkap bagi mengelaknya ke dalam rumah.

“Kami tidak menentang sebarang pembangunan dilakukan di sini, apa yang diharapkan pihak berkenaan perlu mematuhi peraturan yang ditetap pihak berkuasa tempatan.

“Ini termasuk mengutamakan keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya.

Menyentuh mengenai beberapa tuntutan yang dikemukakan di kawasan itu, Mohd. Zairi berkata ia lebih tertumpu kepada kemudahan infrastruktur di situ demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

“Selain meminta bonggol jalan di sekitar jalan blok E, F, G, H dan J dibina, kami juga berharap agar pagar di sekeliling kawasan PPR ini dipasang.

“Ini bagi mengelakkan kemasukan haiwan liar seperti lembu dan kambing selain mengurangkan aktiviti jenayah termasuk kes kecurian, ragut dan pecah rumah," katanya.

Tambah Mohd. Zairi, pihak kerajaan juga diharap dapat membina pelbagai kemudahan seperti tadika, sekolah rendah dan menengah, selain Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)di kawasan perumahan di situ.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Azmie, 41, pula berkata, tindakan segera pihak bertanggungjawab menyelenggarakan sistem peparitan di jalan utama berhampiran PPR berkenaan amat diharapkan.

Katanya, ini kerana keadaan longkang tersumbat sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk semakin membimbangkan.

“Jumlah pesakit yang menghidap denggi kini semakin bertambah khususnya di Lembah Klang. Saya berharap pihak berwajib menyegerakan kerja-kerja pembersihan longkang di kawasan ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.