Isu Pemilikan Tanah Kg. Baru Perlu Diselesaikan Segera


Hartanah di Kampung Baru akan bernilai tinggi sekiranya dibangunkan secara penyatuan lot bagi membolehkan projek komersial berskala besar dijalankan di kawasan itu.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Datuk Astaman Abdul Aziz menjelaskan, harga tanah akan meningkat jika terdapat prospek dan corak pembangunan di tanah tersebut selain tiada kemelut pemilikan hak tanah.

“Pelabur dan pemaju akan lebih berminat untuk melabur sekiranya telah tersedia lot-lot sekurang-kurangnya 30,000 kaki persegi atau tanah yang luas bagi menjayakan pembangunan bersifat ikonik.
“Mereka tidak akan membangunkan mana-mana tanah yang bersaiz kecil, tidak strategik dan bermasalah.

“Jika kita selesaikan dahulu soal pemilikan tanah dan kesemuanya dapat disatukan, maka dengan sendirinya berlaku kenaikan pada nilai tanah.

“Ini kerana ada sebuah lot tanah yang dimiliki oleh lebih daripada 200 individu," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas permintaan pemilik dan waris tanah di Kampung Baru supaya aset mereka itu dapat ditawarkan pada harga yang tinggi sehingga mencecah RM4,000 bagi setiap kaki persegi sebelum dimajukan oleh pemaju dengan projek Pembangunan Kampung Baru 2020.

Astaman berkata, kekangan utama bagi penduduk Kampung Baru adalah untuk menjual tanah kerana aset tersebut merupakan tanah kurnia dan hak milik kekal.

Bagaimanapun, jelasnya, jika para pemilik tanah bersetuju untuk lot mereka disatukan, PKB akan bertindak sebagai Badan Pendaftar yang bertanggungjawab menjaga hak untuk membangunkannya bagi pihak mereka.

Katanya, PKB tidak menetapkan secara khusus sebarang nilai atau harga asas tanah (kosong) milik penduduk Kampung Baru kerana pada amnya nilai mana-mana lokasi di bandar raya Kuala Lumpur ialah RM500 bagi satu kaki persegi.

“Ini dapat dilihat pada pembinaan bangunan KLCC milik Petronas yang dibangunkan pada nilai RM400 bagi satu kaki persegi.

“Bagaimanapun, setelah dibangunkan, nilai hartanah di antara pusat komersial utama di Kuala Lumpur itu telah mencecah sehingga RM2,000.

“Pada asalnya tapak KLCC itu hanyalah tempat lumba kuda, jika tidak dibangunkan untuk sebarang pembangunan sehingga sekarang harga atau nilai tanah di situ hanyalah RM400 bagi satu kaki persegi," jelasnya.

Astaman memberitahu, dengan keluasan 121.96 hektar atau 1,335 lot yang dimiliki 5,300 pemilik tanah berdaftar, adalah sukar untuk menetapkan nilai tanah secara sama rata di Kampung Baru.

“Sudah tentu tanah yang terletak berhampiran Jalan Sultan Sulaiman lebih tinggi nilainya berbanding lokasi yang agak ceruk di Kampung Baru," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.