1Razak Mansion : Satu Lagi Transformasi Kerajaan Untuk Rakyat #1Malaysia @NajibRazak


Penghuni Perumahan Awam Razak Mansion di sini melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas keprihatinan beliau dalam menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

Malah mereka turut meminta supaya Projek Pembangunan Semula 1Razak Mansion itu dapat dikekalkan namanya sebagai 1Razak Mansion atau digabungkan dengan nama Najib sebagai tanda penghargaan penduduk kepada pemimpin itu.

Seorang penduduk, Zainab Hashim 62, berkata kedua-dua nama tersebut jika digabungkan bakal memberikan makna besar kepada negara kerana projek ini melibatkan dua pemimpin iaitu bapa dan anak yang sangat berjasa kepada negara."Anak-anak muda sekarang akan lebih memahami susur galur sejarah projek perumahan ini yang dahulunya dirasmikan bapa kepada Perdana Menteri dan sekarang anaknya pula berusaha untuk membangunkan semula projek yang telah ber­usia hampir 46 tahun ini," katanya.

Dia ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula 1Razak Mansion dan pe­nyampaian Surat Pengesahan tawaran Unit Rumah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Ta­lib, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Pengerusi Eksekutif Impianika Development Sendirian Berhad, Datuk Jeff B. K. Lee.

Zainab berkata, dia merupakan antara penduduk lama di projek perumahan ini sejak 35 tahun lalu yang terpaksa membayar sewa dari sebanyak RM36 sebulan, diikuti sebanyak RM72 sebulan dan RM124 sebulan pada hari ini.

"Jadi bayangkan sudah berapa lama saya menyewa di sini dan apabila mendapat tawaran pembelian rumah dengan harga RM42,000 seunit berbanding harga sebenar atau harga semasa iaitu RM250,000 saya sekeluarga berasa sungguh gembira.

"Walaupun usia saya telah lanjut tetapi insya Allah, saya akan merasa juga akhirnya menghuni di rumah sendiri," katanya.

Turut berkongsi kegembiraan, Siti Rubiah Abdul Razak, 59.

Katanya, dia dan ahli keluarga­nya sangat bersyukur kerana bakal memiliki rumah sendiri setelah sekian lama menyewa di situ.

"Bayangkan lebih dari 20 tahun, kami menyewa di sini dan akhirnya tanpa disangka kami hanya perlu menunggu tiga tahun sahaja dari sekarang untuk memiliki rumah sendiri," katanya.

Dia turut berharap rumah baharu itu nanti lebih memberi keselesaan kepadanya yang turut menjaga seorang anak cacat penglihatan berusia 22 tahun.

Bagi Sharifah Salwa Syed Mohd. Al Jufri, 64, berkata kadar kadar sewa sebanyak RM194 sebulan yang perlu dibayar pada hari ini cukup berpatutan.

"Tetapi tentulah jauh lebih baik lagi apabila dapat memiliki rumah sendiri," katanya.

Selain dibangunkan projek perumahan semula, kawasan projek perumahan 1Razak Mansion ini bakal memiliki pelbagai kemudahan lain yang disediakan oleh pihak pemaju.

Ini termasuklah pembinaan 23 unit kedai bersaiz 600 kaki persegi berbanding 400 kaki persegi sebelum ini, pasar yang mengandungi 110 lot perniagaan bersaiz 20,000 kaki persegi berbanding 11,000 kaki persegi sekarang ini.

Begitu juga dengan pembinaan Dewan Orang Ramai, Surau, Tadika KEMAS, Tadika Islam, Tadika Tengku Budriah, Pejabat Persatuan Penduduk, Pondok Polis dan Bilik Pe­ngurusan Mayat yang kesemuanya akan mempunyai saiz yang lebih besar bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Sumber : Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.