PRK DUN Balingian, Sarawak Ditetapkan Pada 29 Mac 2014


Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sarawak akan diadakan pada 29 Mac, manakala penamaan calon ditetapkan pada 17 Mac, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata sebanyak 13,366 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu, iaitu 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal.“Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil ini ialah RM910,213,” katanya pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan kerusi DUN Balingian yang dikosongkan bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Taib kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan ketua menteri dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, pada 28 Feb lepas.

Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah pada hari yang sama sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima bagi menggantikan Taib.

Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Taib mengekalkan kerusi itu dalam persaingan tiga penjuru menewaskan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi