Jangan Gadai Lagi Dasar Pendidikan Negara Demi Tagih Undi Cina

Kerajaan diingat tidak menggadaikan dasar pendidikan negara dengan mengiktiraf Peperiksaan Gabungan Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) hanya kerana mahu menagih undi kaum itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris menegaskan, sekiranya itu adalah syarat untuk kaum Cina mengundi Datin Paduka Chew Mei Fun dalam PRK DUN Kajang, pihaknya lebih rela calon Barisan Nasional (BN) itu tewas berbanding dasar pendidikan negara tergadai.

"Gesaan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang disiarkan oleh sebuah akhbar hari ini sangat tidak bertanggungjawab kerana mendesak kerajaan mengiktiraf UEC menjelang PRK DUN Kajang."Jangan cuba memancing undi kaum Cina di Kajang sehingga sanggup membelakangkan dasar pendidikan negara," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Sin Woon meminta kerajaan mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurut Sin Woon, pelbagai usaha telah dilakukan sejak 2000 dan pemegang UEC telah dibenarkan memasuki universiti dan kolej swasta selain layak memohon pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

UEC yang dikelolakan Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sejak 1975 tidak diiktiraf oleh kerajaan kerana bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, Irwan Fahmi memberi kata dua kepada MCA supaya tidak terus mendesak kerajaan mengiktiraf UEC sekiranya mahu mendapatkan sokongan daripada pengundi Melayu dalam PRK DUN Kajang.

"Jangan cuba mendesak lagi hal UEC. Jika tidak, lebih 1,500 ahli Perkasa di Kajang akan tolak calon MCA yang mewakili BN dalam pilihan raya kecil di kawasan itu tidak lama lagi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengiktirafan terhadap UEC bermakna kerajaan telah mewujudkan dua sistem dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja akan menghalang usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum di negara ini malah menebalkan polarisasi kaum.

Sumber : Utusan Malaysia