Catu Air : SYABAS Diminta Beri Panduan Jelas Kepada Penduduk


Masih ada penduduk keliru dengan pelan catuan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang dimulakan sejak 27 Februari lalu di sekitar ibu negara dan Selangor.

Seorang penduduk, Siti Rohana Abdullah, 42, yang tinggal di Pangsapuri Cemara, Bandar Tasik Permaisuri di sini berkata, dia meminta pihak Syabas memberi penerangan lebih jelas mengenai catuan itu.

"Saya tahu mengenai catuan itu tetapi sepatutnya ada panduan berhubung langkah yang perlu dilakukan penduduk bagi mengelak sebarang kesulitan."Di kawasan ini, air sudah mula disekat sejak tengah hari ini dan saya sudah bersedia menyimpan air dalam beberapa tong dan baldi air untuk kegunaan seharian," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Azrul Mohd. Noor, 26, mendakwa, tidak ada notis ditampal di pangsapuri itu dan dia hanya mengetahui mengenai catuan menerusi laporan akhbar.

"Mujur ada akhbar yang melaporkan pelan catuan air dan saya telah membuat persediaan dengan membeli tiga buah baldi untuk menyimpan air," katanya.

Sementara itu, Pengurus bangunan pangsapuri tersebut, Mohd. Shahizwan Zakaria, 33, berkata, beliau sudah berjumpa dengan penduduk serta menampal notis di setiap blok dan lif bangunan mengenai jadual catuan air tersebut.

"Pangsapuri ini masih lagi mendapat bekalan air kerana ia memiliki tangki simpanan. Bagaimanapun, tekanan air akan menjadi rendah apabila diagihkan ke setiap rumah," jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia