RM2.3 Juta Baik Pulih Taman Kejiranan Air Panas, Setapak


Sebanyak RM2.3 juta telah dibelanjakan untuk membaik pulih pelbagai kemudahan yang rosak akibat perbuatan vandalisme di kawasan Taman Kejiranan Air Panas, Setapak di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir orang awam menyebabkan pihaknya mengeluarkan peruntukan yang besar bagi kerja baik pulih.

"Peruntukan itu digunakan antaranya untuk membaik pulih padang bola sepak serta menambah kemudahan-kemudahan lain seperti pembinaan pagar.

"Selain itu, vandalisme mengakibatkan banyak kerosakan kepada peralatan permainan kanak-kanak, lampu taman, tandas awam, pagar dan lain-lain lagi," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sahabat Taman Kejiranan Ayer Panas, Setapak di sini.Sementara itu, Ahmad Phesal memberitahu, penubuhan Sahabat Taman tersebut merupakan inisiatif DBKL dalam membangunkan sesebuah taman awam yang boleh dikongsi manfaatnya oleh semua lapisan masyarakat di ibu negara.

"Taman ini merupakan salah satu daripada 15 taman awam utama yang telah dibangunkan oleh DBKL dengan keluasan kira-kira 14 hektar.

"Pelbagai proses dan halangan telah dilalui untuk mewartakan tanah sebagai taman awam. Justeru, orang ramai perlu menghargai dan menjaganya dengan baik kerana ia adalah untuk kegunaan mereka," katanya.

Taman Kejiranan Ayer Panas terletak berhampiran 11 buah sekolah menengah dan rendah serta tujuh Projek Perumahan Rakyat (PPR) antaranya PPR Sungai Bonus dan PPR Sri Semarak yang meliputi kira-kira 100,000 penduduk.