RM12 Juta Atasi Masalah Tanah Mendap Di Kg Baru, Kuala Lumpur


Kebimbangan penduduk Kampung Pindah di Kampung Baru di sini berhubung tanah mendap bakal berakhir apabila kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) mengambil serius masalah yang dihadapi kira-kira 22 keluarga terlibat.

“Kita akan selidik masalah yang berlaku di kawasan itu kerana tanah mendap itu dipercayai disebabkan oleh keadaan di bawah tanah rumah penduduk. “Bajet untuk kerja-kerja menaik taraf serta pembaikan kawasan itu juga telah diluluskan dan sekarang kita perlu meneliti beberapa perkara sahaja lagi.Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan bagi Parlimen Titiwangsa di Dewan Komuniti Bestari Wirawati 6, di sini semalam.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharuddin Abdullah.

Sementara itu, Johari memberitahu, terdapat beberapa konflik timbul dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kampung berkenaan.

Menurutnya, penduduk meminta pampasan dibayar kepada mereka sebelum sebarang kerja-kerja pembaikan dimulakan di kawasan itu, namun jenis pampasan yang dimaksudkan tidak dijelaskan secara terperinci.

“Kita akan berbincang semula dengan penduduk terlibat untuk mengetahui pampasan yang dimaksudkan supaya kerajaan tahu apa yang boleh diberi kepada penduduk," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk mengambil tanah penduduk di situ selain memajukan perkampungan Melayu itu.

Dalam pada itu, Naharuddin memberitahu, dalam tempoh dua minggu lagi, pihak PKB akan mengatur pertemuan dengan penduduk terlibat bagi membincangkan perkara itu.

Sebelum ini pada 24 Januari lalu Utusan Malaysia melaporkan mengenai kebimbangan kira-kira 22 keluarga di Kampung Pindah berhubung masalah tanah mendap sejak beberapa tahun lalu dan mahukan pembelaan pihak bertanggungjawab.

Masalah itu menyebabkan rumah mereka retak dan beberapa penduduk terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing. Susulan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan balasnya memaklumkan bahawa kerja-kerja membaik pulih kawasan itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir JPS, Wan Mohd. Sulaiman Wan Ismail berkata, pihaknya dalam proses membuka tender bagi kerja-kerja tersebut.