PPR Raya Permai, Bandar Tun Razak Akan Dinaik Taraf Tahun Ini


Kementerian Wilayah Persekutuan telah meluluskan cadangan untuk melaksanakan pembangunan dan menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi dekat sini.

Kerja-kerja tersebut akan melibatkan penurapan jalan, menaik taraf surau, pembinaan tempat letak kereta bertingkat, dewan serbaguna dan penyusunan semula gerai-gerai penjaja di kawasan itu. Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerja-kerja yang akan dilaksanakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijangka bermula pada tahun ini."Kita akan menyelesaikan semua permohonan daripada penduduk berhubung masalah yang dihadapi. Kita akan menurap semula jalan di kawasan ini yang saya lihat daif dan mendap. Selain itu, penduduk juga menghadapi masalah tempat letak kereta.

"Kerja-kerja pembesaran surau untuk menempatkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, pembinaan kemudahan dewan serbaguna, gelanggang sukan dan gerai makan akan dilaksanakan demi memastikan keperluan dan keselesaan para penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Taman Herba, PPR Raya Permai, Sungai Besi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Ketua MCA Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan.

Tengku Adnan memberitahu, kos untuk penurapan jalan dan menaik taraf surau melibatkan perbelanjaan sebanyak RM230,000.

Ujarnya, kos pembinaan tempat letak kereta bertingkat yang meliputi dewan, gerai makan dan gelanggang sukan akan ditentukan kemudian setelah cadangan serta pelan pembangunan diteliti.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Kenduri 1Wilayah Persekutuan itu membolehkan pemimpin turun padang untuk berjumpa para penduduk dan menyelami masalah mereka.

"Melalui program ini, penduduk boleh menyuarakan apa yang mereka kehendaki dan ini konsep yang kita amalkan," ujarnya.

Program yang dianjurkan sejak tahun lalu sempena Hari Wilayah Persekutuan itu akan diadakan sehingga 23 Februari ini di 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan.

Ia turut melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.


Sumber : Utusan Malaysia