KL Contohi Kejayaan Copenhagen


Kuala Lumpur akan mencontohi ibu negara Denmark, Copenhagen dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dan kesan alam sekitar ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sebelum ini bandar raya di negara tersebut juga mengalami masalah kesesakan trafik yang teruk akibat perkembangan ekonominya yang pesat.

Katanya, bagaimanapun, pada hari ini ia bukan sahaja bebas daripada masalah itu malah menjadi bandar raya paling hijau sehingga mendapat Anugerah European Green Capital 2014.
"Rahsia kejayaan itu apabila mereka mengamalkan aktiviti berjalan kaki, berbasikal dan menaiki kenderaan awam sebagai satu budaya yang juga berjaya meningkatkan tahap kesihatan warga Copenhagen. Jumlah kenderaan yang memasuki bandar raya itu berjaya dikurangkan iaitu daripada 284,000 buah pada tahun 2012 berbanding 350,000 buah pada 1970. Di Kuala Lumpur pula, setiap tahun hampir 30,000 hingga 40,000 kenderaan persendirian baharu memasuki ibu negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Copenhagen Solutions - Making Cities More Liveable di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Duta Denmark ke Malaysia, Nicolai Ruge dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.

Ahmad Phesal memberitahu, sehingga tahun 2020 sebanyak 100,000 pokok akan ditanam di seluruh Kuala Lumpur dan Lembah Klang bagi memberi keselesaan dan teduhan kepada para penunggang basikal serta pejalan kaki.

"Selain itu, kita telah mempunyai laluan berjalan kaki berbumbung sejauh 42 kilometer di sekitar ibu negara dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa. Kita juga memperkenalkan Penilaian Kesan Lalu Lintas bagi menentukan laluan-laluan untuk pejalan kaki dan berbasikal dalam setiap pembangunan dan pembinaan premis dan kawasan pada masa depan," ujarnya.

Jelasnya lagi, apabila projek transit aliran massa (MRT) siap sepenuhnya pada tahun 2017, warga kota boleh menunggang basikal ke stesen MRT dan kemudian menaiki kemudahan itu untuk ke tempat kerja.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ruge berkata, Copenhagen kini meletakkan sasaran untuk menjadi bandar terbaik dunia bagi penunggang basikal.

"Kita menjangkakan hampir 55 peratus warga bandar raya itu menunggang basikal untuk ke tempat kerja atau ke sekolah pada 2015, sekali gus dapat mencapai matlamat menjadikan Copenhagen bebas daripada pencemaran karbon dioksida pada tahun 2025," katanya.