Anwar Seorang Oportunis


Rakyat termasuk pemimpin pembangkang perlu memberi perhatian serius terhadap pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor jika mahukan jawatan tersebut untuk kepentingan peribadi.

Menurut beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pernah rapat dengan Anwar, Penasihat PKR itu merupakan seorang oportunis yang akan menggunakan kesempatan yang ada untuk mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zamil Ibrahim berkata, Mahathir adalah orang yang paling mengenali Anwar kerana beliau membawa Ketua Pembangkang itu masuk ke dalam UMNO walaupun tindakan itu mendapat kritikan hebat daripada kalangan pemimpin UMNO yang merasakan Anwar akan merosakkan parti nanti."Pada waktu itu, Tun Mahathir menggilap dan menatang Anwar lebih daripada beliau menatang anaknya, Datuk Mukhriz sehingga Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Selepas 16 tahun, baru Tun Mahathir menyedari siapa Anwar sebenarnya, maka Anwar menerima akibatnya pada 2 September 1998.

"Kita perlu beri perhatian terhadap pandangan Tun (Mahathir) kerana beliau tidak ada sedikit pun rasa iri hati kepada Anwar kerana beliau ambil Anwar daripada seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang biasa ketika itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, Mahathir berkata, Anwar tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya Ketua Pembangkang itu mahu menggunakan jawatan berkenaan untuk melakukan apa sahaja yang beliau mahu.

Beliau berkata, jawatan Menteri Besar atau Perdana Menteri sekalipun tidak akan memberi Anwar kekebalan daripada dikenakan tindakan undang-undang jika beliau melakukan kesalahan.

Sumber : Utusan Malaysia