Anwar & Khalid Pemimpin Lidah Bercabang - Syed Ali


Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabsheemenyifatkan Menteri Besar Selangor, Tan Seri Khalid Ibrahim sebagai 'pemimpin lidah bercabang' yang langsung tidak boleh dipercayai.

Beliau berkata, ini berikutan sikap Khalid yang suka berdolak-dalik berhubung tanda tanya siapa bakal Menteri Besar selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, 23 Mac ini.

"Sebelum ini dia menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan jadi Menteri Besar, semalam pula kata sedia lepas jawatan berkenaan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR itu," ujarnya.

Sikap berdolak-dalik itu kata beliau, menunjukkan Khalid sebenarnya keberatan untuk melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun didesak berbuat demikian.
"Khalid sebenarnya berada di bawah tekanan Anwar, beliau masih sayangkan kerusi Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, isu pertukaran Menteri Besar Selangor sudah sekian lama bertiup apabila anak emas Anwar, Azmin Ali dikaitkan mengidam kerusi berkenaan.

Sehubungan itu katanya, kemungkinan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas PRK DUN Kajang tidak boleh diketepikan.

Kedudukan Anwar sebagai bakal Menteri Besar Selangor seperti disahkan apabila PKR secara drastik mengumumkan bahawa beliau akan bertanding pada PRK DUN Kajang walaupun Pakatan Rakyat (PR) belum memutuskan secara muktamad siapa calon mereka.

PKR dikatakan telah membelakangkan PR yang mana keputusan menamakan Anwar sebagai calon dikatakan telah menyingung sekutunya, PAS dan DAP.

PAS ternyata menentang keras hasrat PKR meletakklan calon mereka terutama Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh di DUN Kajang.

Bagaimanapun, dalam temuramah dengan saluran televisyen Australia, Newsline pada Khamis lalu seperti dilaporkan akhbar, Anwar berkata Khalid akan mengambil alih tempatnya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor jika beliau menjadi Menteri Besar.

Anwar menjelaskan, perkara itu sedang dibincangkan dengan Khalid. Khalid pula bagaimanapun menolak desas-desus bahawa Anwar akan menggantikan tempatnya sebagai Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata perebutan kerusi Menetri Besar Selangor membabitkan Anwar dan Khalid juga membuktikan parti berkenaan hanya mementingkan kuasa politik.

"Anwar dan Khalid, sama-sama pemimpin lidah bercabang, langsung tidak boleh dipercayai kerana perlakuan politik mereka tidak menjuruskan kepada kepentingan rakyat," tegasnya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kesediaan Anwar bertanding pada PRK DUN Kajang bukan kerana untuk memberikan khidmat kepada rakyat tetapi ada agenda tersembunyi.

Dalam hal ini, Syed Ali tidak menafikan kerakusan Anwar bertanding di DUN Kajang kemuungkinan ada hubung kait dengan sebutan semula kes liwatnya dengan Mohd. Saiful Bukhari.

"Oleh sebab itu Anwar berkeras mahu bertanding di DUN Kajang dan mengambil alih jawatan Menteri Besar walaupun terpaksa menyingkirkan Khalid," tegasnya lagi.

Bagaimanapu beliau menjangkakan hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor tidak semudah seperti apa yang dijangka kerana PAS juga mempunyai pengaruh di DUN Selangor.

"Pada hemat saya, pemimpin PAS Selangor tidak terlalu bodoh untuk membiarkan Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Besar," ujarnya.