Syed Ali Cabar Ulama PAS Jelaskan Pendirian Cadangan DAP Pinda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mahu PAS dan PKR menyatakan pendirian mereka berhubung cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor.

Beliau berkata, sebagai ‘rakan kongsi’ Pakatan Rakyat (PR), PAS terutamanya perlu menjelaskan prinsip perjuangan mereka kerana cadangan tersebut merupakan penghinaan terhadap seluruh umat Islam di negara ini.

Katanya, PAS yang turut berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR membentuk kerajaan negeri PR di Selangor selepas PRU ke-13 perlu bertanggungjawab berhubung cadangan tersebut.

“PAS dan PKR jangan terlalu fikirkan keuntungan kuasa politik, ini soal maruah dan masa depan umat Islam, bukan sahaja di Selangor tetapi seluruh negeri.Syed Ali mengingatkan PAS supaya tidak menggadaikan asas perjuangan Islam dengan sengaja bersubahat dengan kumpulan yang cuba menghancurkannya.

Beliau tidak menolak kemungkinan cadangan pindaan tersebut yang dikemukakan oleh wakil rakyat DAP sebagai satu perancangan halus pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan Islam.

“Isu ini bermula dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam, saya khuatir cadangan pindaan tersebut sebagai jalan pintas untuk mereka mengembangkan agama Kristian di negara.

Jika itu berlaku katanya, jelas merupakan penghinaan dan pencabulan terhadap kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan raja-raja Melayu sebagai payung agama di setiap negeri.

‘Saya cabar ulama PAS supaya perjelaskan kepada rakyat, apa hujah dan pendirian mereka berhubung cadangan DAP untuk meminda enakmen Bukan Islam Selangor,” tegasnya.

Katanya lagi, PAS selama ini mendakwa mereka menegakkan perjuangan Islam dengan bersandarkan kepada pelbagai fatwa disamping sanggup menuduh orang lain sebagai kafir kerana menolak idelologi PAS.

Menurut Syed Ali,cadangan DAP untuk meminda enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 merupakan tindakan serius yang menuntut kebangkitan seluruh umat Islam untuk menentangnya.

“Kita nak tengok sejauh mana beraninya pemimpin dan ulama PAS menentang cadangan yang diusulkan oleh tiga wakil rakyat DAP itu. Seluruh umat Islam bukan sahaja di Selangor, harus bangun menentang cubaan ini, jika tidak maruah dan identiti umat Islam berada di tahap yang paling hina."

Katanya, cadangan pindaan enekmen tersebut bukan sahaja bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan tetapi akan membawa kehancuran kepada umat Islam di negara ini.

Tambah beliau, masalah kerapuhan akidah umat Islam termasuk kepada gejala murtad dikhuatiri akan terus berleluasa jika cadangan pindaan enekmen tersebut diluluskan.

Beliau melahirkan kebimbangannya kerana cadangan pindaan tersebut jika diluluskan akan menyebabkan gejala murtad berlaku secara berleluasa kerana tiada lagi undang-undang yang boleh dikenakan terhadap bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah untuk mengelirukan orang Islam.

“Hari ini DAP cuba uji keberanian mereka di Selangor, selepas ini mungkin mereka akan lakukan di negeri-negeri lain yang dibawah pentadbiran pembangkang khususnyua di Pulau Pinang.

“Adalah tidak masuk akal cadangan bersabit perundangan Islam diusulkan oleh bukan Islam (DAP), ini merupakan penghinaan dan pencercaan yang amat ketara keatas umat Islam di Malaysia,” tegasnya.