Perlu Bertindak Tegas Terhadap Pihak Sengaja Persenda PM Najib Razak


Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak tertentu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membuat pelbagai tohmahan terhadap kerajaan atau menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penghinaan dan tohmahan itu sengaja dilakukan oleh pemimpin pembangkang bagi menutup pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan untuk membantu rakyat terutama dalam isu kenaikan harga barang.Beliau berkata, berdasarkan tinjauan, harga barang masih lagi terkawal tetapi isu itu sengaja dimanipulasikan bagi menunjukkan ekonomi negara sedang 'porak-peranda'.

"Agak keterlaluan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab menyumbat sayur kangkung ke dalam 'mulut' Perdana Menteri.

"Itu satu perbuatan yang cukup jahat dan tidak harus diamalkan. Tindakan tegas harus diambil terhadap pihak seperti ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 3,000 penduduk berarak secara aman di bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi membantah tindakan Khai Loon yang menghina Perdana Menteri.

Dalam kejadian di Pasar Malam Alma, Bukit Mertajam pada Rabu lalu, sekumpulan penyokong PKR yang diketuai Khai Loon menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri dan mempersenda kenyataan Najib berhubung penurunan harga sayur berkenaan baru-baru ini. - Utusan Malaysia