Penjelasan Kenapa UMNO Tarik Balik Saman Fitnah Terhadap Tian Chua dan Mustafa Ali

Langkah UMNO menarik balik saman fitnah terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dan Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali bukanlah bermakna UMNO tidak serius terhadap pandangan rakyat atau isu fitnah yang dibuat oleh pihak lawan.

Penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menjelaskan tindakan terbabit dibuat sebagai bukti keterbukaan UMNO yang tidak berdendam dan menerima pihak lawan dalam keadaan mereka mengakui kesalahan dan sanggup berubah.

“Tidak bermakna UMNO takut kerana kalau pihak lawan tidak mahu berubah maka kita tidak akan beralah tetapi dalam kes terbabit pihak lawan meminta untuk ia diselesaikan di luar mahkamah dengan beberapa terma dan akui kesilapan,” katanya kepada UMNO-Online.


Ujar beliau, UMNO bukan parti yang hanya mahu ke mahkamah tanpa sebab atau tanpa asas, bukan menyaman mana-mana pihak untuk mendapat ganjaran wang atau sebagainya tetapi UMNO berpaksi kepada prinsip bahawa, jika UMNO telah difitnah dan dimalukan maka ia tidak akan berkompromi.Tapi sebaliknya tegas beliau jika mereka sanggup menyatakan pendirian sama ada meminta maaf atau menyatakan kekesalan atas apa yang telah dilakukan maka UMNO selaku parti siasah sentiasa berjiwa besar kerana imej UMNO bukan sewenang-wenangnya mendapat duit dari pihak yang disaman.

Mac lalu, tindakan undang-undang telah diambil terhadap Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkaitan kenyataannya yang bertajuk ‘Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO – Tian’ yang seterusnya diterbitkan dalam KeadilanDaily.com. pada 1 Mac 2013.

Jelas Hafarizam, Tian Chua dan peguamnya meminta untuk menyelesaikannya di luar mahkamah dan sanggup untuk menarik balik kenyataan yang merujuk kepada UMNO iaitu:

1. Insiden terancang di Lahad Datu bukan konspirasi UMNO, ini bukan sandiwara UMNO untuk tarik perhatian UMNO tentang isu RCI, atau apa-apa jua yang ada kena mengena dengan UMNO;
2. Menyatakan kekesalan kenyataan itu telah mengaitkan UMNO;
3. Memohon untuk memastikan dia akan minta KeadilanDaily keluarkan keseluruhan artikel itu serta-merta;
4. Tanpa apa-apa perintah kos iaitu kos yang UMNO perlu bayar atau sebaliknya dengan kos ditanggung sendiri.

“Selepas terma-terma tersebut diperhalusi dan dipersetujui maka YB Tian Chua menarik balik segala tuduhan yang mengaitkan UMNO, yang bermakna beliau mengaku salah sebut UMNO sebagai perancang kepada insiden Lahad Datu, menarik balik kenyataan bahawasanya UMNO cuba mengalih perhatian daripada isu RCI kepada isu tembakan di Lahad Datu.

“Beliau juga menyatakan kekesalan, yang mana kesannya sama dengan memohon maaf, iaitu dia mengaku bahawa dia tidak sepatutnya berkata begitu. Di sini hanya penggunaan kesal dan mohon maaf yang berbeza tetapi kesannya adalah sama iaitu UMNO tidak terlibat dalam insiden tembakan di Lahad Datu dan ini bukan sandiwara UMNO untuk mengalih perhatian rakyat daripada RCI,” tegasnya.

Sebelum itu, Tian Chua telah diberi peluang untuk menyatakan pembelaannya terhadap kes saman malu yang dibawa oleh UMNO namun UMNO mempersoalkan kenapa perlu kaitkan parti terbabit dalam insiden tembak menembak di Lahad Datu jika ianya tidak pasti sama ada UMNO terlibat atau tidak, sementara isu RCI dan sebagainya tidak ada kena mengena dengan insiden Lahad Datu.

“Walaupun kes saman malu ini telah selesai, namun Tian Chua sedang hadapi satu lagi pertuduhan jenayah berbentuk hasutan kerana kenyataan yang sama dibuat dan beliau terpaksa menjawabnya di mahkamah nanti.

“Tidak semestinya dengan UMNO bersetuju menarik balik saman fitnah dan saman malu, maka pertuduhan jenayah yang dihadapinya akan terlepas kerana ia tidak ada kaitan iaitu kes terbabit adalah pertuduhan yang sedang dihadapinya di mahkamah jenayah yang dikatakan berbentuk hasutan.


“Laporan polis yang dibuat oleh rakyat berkaitan Tian Chua dalam insiden Lahad Datu tersebut terangkum dalam laporan jenayah berbentuk fitnah yang sedang dihadapi oleh Tian Chua,” maklumnya.

Tambah beliau, sebagai sebuah parti yang memegang tampuk kuasa dan memperoleh pertambahan kerusi selepas PRU lalu, maka tentunya fokus UMNO bukanlah kepada kes sedemikian sebaliknya ada agenda yang lebih besar misalnya transformasi UMNO, transformasi kerajaan dan politik UMNO.

“Sekiranya kita hanya melihat Tian Chua kepada kes yang sangat besar dan penting, maka kita akan dilihat oleh rakyat terlalu pendendam walhal Tian Chua telah bersetuju untuk menarik balik dan menyatakan kekesalan atas apa yang telah dilakukan.”

Merujuk kepada kes Mustafa Ali pula yang telah disaman ekoran menuduh UMNO terlibat dalam penyebaran video seksnya yang dianggap sebagai kebiasaan untuk UMNO sebarkan fitnah, pihak terbabit turut memberikan tawaran.

“Beliau yang hadir bersama dua defendan lain iaitu peguamnya dan Editor Harakahdaily, telah ditawarkan kepada UMNO iaitu menarik balik apa jua kenyataan yang merujuk kepada UMNO dan melahirkan kekesalan dan akan keluarkan artikel itu dari Harakahdaily dengan kes tersebut tiada perintah berkaitan kos.

“Maka UMNO ambil sikap terbuka, sifat besar hati iaitu akan menarik balik demi menjaga nama dan maruah UMNO, maka kita setuju menyelesaikannya di luar mahkamah.”