Konflik Agama Jika Dbiar Berlarutan Boleh Retakkan Perpaduan Rakyat - Syed Ali


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, konflik berhubung isu agama perlu diselesaikan segera dengan mengambil kira asas perpaduan kaum yang selama ini menjadi benteng ketahanan negara.

"Melihat kepada senario sekarang, ia memerlukan tindakan segera kearah mencari penyelesaiannya demi kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata, perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini akan menjadi tidak selesa jika rakyat berterusan terperangkap dengan konflik agama dan kepercayaan."Semua pihak harus peka dan mencari alternatif terbaik untuk meneyelesaikan konflik ini," ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau, penyelesaian kepada konflik agama tidak sewajarnya dicampur adukkan dengan kepentingan politik kepartian.

Katanya, jika agenda politik dijadikan landasan kepada usaha tersebut dikhuatiri perpecahan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan anutan agama akan semakin meruncing.

"Apabila isu agama ditangani secara politik dan diadunkan dengan sentimen kaum, lambat laun negara akan berada dalam situasi yang berbahaya," tegasnya.

Sehubungan itu, Syed Ali berharap apa jua isu agama yang berbangkit membabitkan kepentingan penganut pelbagai agama di negara ini perlu diselesaikan oleh mereka yang mempunyai pengiktirafan dalam perkara tersebut.

Lagipun jelas beliau, semua agama dan kepercayaan menghormati agama lain dan menolak sebarang elemen perpecahan serta persengketaan di kalangan penganutnya.

"Masalahnya sekarang isu agama telah sengaja dipolitikkan oleh pihak berkepentingan dalam usaha mereka meruntuhkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokrasi," jelas beliau lagi.

Beliau kesal kerana pemimpin politik pembangkang hanya melihat keuntungan mereka daripada percanggahan pendapat berhubung isu agama tanpa memikirkan semangat perpaduan dan setiakawan d kalangan rakyat.

"Lebih 50 tahun batu asas perpaduan rakyat terbina dengan dasar permuafakatan dan semangat tolenransi antara kaunm dan kekuatan itu tidak wajar diruntuhkan oleh sentimen politik," tegasnya.

Syed Ali menjelaskan, UMNO yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab membina dan mengukuhkan batu asas tersebut.

"Bagaimanapun, tembok perpaduan yang sekian lama terbina kukuh itu cuba diruntuhkan oleh pihak berkepentingan dengan berselindung di sebalik isu dan sentimen agama," ujarnya.

Tanpa berselindung, beliau mendakwa DAP dengan bantuan daripada PAS dan PKR menggunakan isu agama untuk meraih sokongan terutama di kalangan penganut bukan Islam.

"Senario sekarang membuktikan DAP merupakan dalang sehingga tercetus keresahan di kalangan penganut Kristian dan Islam seperti apa yang sedang berlaku di Selangor," tegasnya.

PAS tambah beliau, sepatutnya turut prihatin terhadap permasalahan dan ancaman yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini.

"Kita kesal kerana PAS mengaku parti Islam tetapi tindak-tanduk politiknya banyak merosakkan perpaduan di kalangan umat Islam," tegasnya.

Beliau mengulas dan menyambut baik titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang mahukan isu agama hendaklah dipisahkan daripada dijadikan umpan dan senjata politik kerana ia boleh memakan diri serta boleh mencetuskan persengketaan.

Ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak, di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh semalam, banginda bertitah isu agama perlu ditangani dengan semangat dan roh agama oleh ulama dan golongan yang arif dalam ilmu agama masing-masing bagi mencari penyelesaian.

Raja Nazrin turut bertitah sejak kebelakangan ini tercetus senario yang berpontensi menggugat tunggak asas kekuatan dan kestabilan negara, susulan polemik yang sedang berlaku antara penganut Islam dan Kristian.