Kadar Imbuhan Imam, Bilal & Pembantu Noja Seluruh WP Dinaikkan


Seramai 789 pegawai-pegawai masjid yang terdiri daripada para Ketua Ketua Imam, Penolong Ketua Imam, Bilal, Imam Ratib, Pembantu Bilal dan Pembantu Noja di seluruh Wilayah Persekutuan hari ini menerima berita baik selepas kerajaan memutuskan untuk menaikkan kadar imbuhan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.2 juta setahun.

Pengumuman yang disampaikan sendiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom dalam Majlis Multaqa' Pegawai-Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid/Surau Jumaat Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana Kuala Lumpur.

Beliau berkata selepas berbincang dengan YB Menteri Wilayah Persekutuan dan mengambil pandangan daripada UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan dan selepas dibentangkan kerajaan meluluskan untuk menaikkan imbuhan Imam, Bilal dan semua Qariah Masjid dan Surau.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai masjid dan surau yang telah melaksanakan amanah dan tanggugjawab dengan baik dalam memelihara kesucian agama Islam di Wilayah Persekutuan.

Tambahnya lagi, kerajaan yang berpegang kepada konsep Maqasid Syariah sentiasa berpandu kepada dalil Al Quran dan As Sunnah termasuk dalam menjaga keturunan. "Maqasid Syariah yang kita bawa selama ini antaranya adalah menjaga keturunan kita, seperti yang tuan-tuan maklum, sekarang ada 34 ribu guru kafa seluruh negara yang dibayar elaun oleh kerajaan. Guru-guru ini tidak henti-henti mengajar anak-anak kita dan ini salah satu daripada Maqasid Syariah dan agama Islam sangat menekankan perkara ini".

Turut hadir sama YBhg. Dato' Haji Othman b Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan YBhg Dato' Raja Nong Chik Zainal Abidin yang mewakili YB Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selain itu, Jamil Khir turut memberitahu dalam memartabatkan hal ehwal agama Islam dari arus kemajuan nasional, kerajaan kini dalam proses mewujudkan Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya.