#PRKSgLimau : BN Umum Calon 21 Oktober Ini


Nama calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, 4 November ini dijangka diumumkan pada 21 Oktober.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, BN Kedah juga sudah bersiap sedia termasuk jentera parti bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

"Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melawat Sungai Limau pada 8 Oktober ini, antaranya bertujuan untuk berbincang mengenai persiapan menghadapi PRK ini.
"Kita (BN) pun sudah mula buat persiapan dan saya ingat jentera parti juga sudah bersiap sedia hadapi PRK ini. Dari segi calon kita masih berusaha menyenarai pendek kepada tiga nama yang bakal bertanding. Apa pun pada 21 Oktober ini kita akan umum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Jabatan Agama Islam Kedah di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 4 November sebagai hari pengundian dan 23 Oktober sebagai tarikh penamaan calon PRK DUN Sungai Limau ekoran kematian penyandangnya bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak 26 September lepas.

Azizan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada 26 September lalu akibat jangkitan kuman dan kegagalan pelbagai organ dalaman, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Mei lepas, Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd. Fazillah Mohd. Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Mengulas lanjut, kata Mukhriz, pihaknya menerima dengan terbuka tarikh penamaan calon yang ditetapkan itu selepas tarikh pemilihan UMNO pada 19 Oktober ini.

"Ini bukan sesuatu yang boleh dielakkan kerana tarikh ditetapkan SPR kalau diputuskan kita harus menerima walaupun dari segi masa untuk saya sendiri jadi sedikit tersekat bagi berkempen.

"Tetapi ini tugas dan tanggungjawab yang saya lebihkan kepada PRK Sungai Limau. Ini juga bukan satu yang akan melemahkan BN," katanya.