#PemilihanUMNO : Teras Perkukuh Parti, Sediakan Bala Tentera PRU-14

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rasid Shirlin melihat pemilihan UMNO yang bakal diadakan Oktober ini adalah teras mengukuhkan UMNO sebagai parti berasaskan sahsiah yang mewakili orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, pendekatan ini bersesuaian dengan perubahan yang dilaksanakan oleh kepimpinan tertinggi UMNO demi memastikan perjuangan mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

“Saya lihat UMNO ini adalah satu-satunya parti yang patut dicontohi, bukan saja sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional tetapi pakatan pembangkang yang hanya tahu bercakap juga sewajarnya mengambil iktibar dari apa yang dilaksanakan dalam UMNO,” katanya dalam satu wawancara ekslusif dengan UMNO-Online di sini.



Ini kerana, ujar beliau, kalau sebelum ini UMNO memberikan hak untuk memilih hanya kepada sekitar 2,000 perwakilan sahaja tetapi ia telah diperluaskan hingga 150,000 ahli keperingkat akar umbi termasuklah golongan muda.

“Kita lihat bagaimana parti-parti politik lain, DAP dengan masalah dalaman, pemilihan lepas pun penuh kekecohan.

“PKR pula contohnya, meletakkan Ketua Umum dikedudukan yang cukup tinggi, yang tidak boleh diusik dan digugat, seolah-olah itu adalah satu jawatan yang diberikan oleh yang maha kuasa kepada seorang individu yang jelas merupakan orang yang banyak kelemahan dan juga kekurangan.

“Pada saya, meletakkan pemimpin pada tahap itu menunjukkan bahawa parti itu langsung tidak demokrasi sebaliknya mengutamakan peranan kronisma dan juga parti keluarga.”

Jelas beliau, pastinya pemilihan ini menjadi satu lagi lakaran sejarah kepada UMNO dan dapat memperlihatkan bahawa parti ini menjadi satu-satunya parti sahsiah berasaskan keadilan dan mendengar suara ahli-ahli disemua peringkat yang diberi hak untuk memilih selain menjadi isyarat bahawa UMNO adalah parti akar umbi yang melalui proses transformasi bukan sahaja kepada ahli sendiri tetapi juga kepada orang diluar.

“Pemimpin kita berani meletakkan diri mereka dalam suasana dimana diri mereka juga boleh dicabar yang menjadi bukti bahawa inilah kejujuran dan keikhlasan pemimpin kita, berbanding dengan pemimpin DAP, PKR dan Pas sendiri.

“Ini adalah signal yang jelas, bukan sahaja kita perlihatkan kepada masyarakat tapi kita hendak masyarakt mengetahui bahawa UMNO adalah untuk membela rakyat dan sekiranya kita perlu melakukan transformasi yang boleh mengukuhkan peranan UMNO itu sendiri, kita berani untuk melaksanakannya kerana UMNO adalah untuk rakyat, bukan individu dan ini jelas daripada sikap pemimpin kita sendiri; boleh dicabar dan terbuka untuk bertanding walaupun jawatan Presiden.”

Tambahnya, pemilihan ini juga memperlihatkan bahawa dalam soal memilih pemimpin, keterbukaan boleh dilihat jelas pada dua perkara dalam UMNO iaitu keterbukaan ini dari segi meletakkan kepercayaan kepada perwakilan yang mewakili beberapa golongan yang ada dalam UMNO sendiri.

“Keduanya, apabila dalam usaha kita memperkukuh, kita berani mengatakan kita memang ada masalah politik wang namun kita sentiasa berusaha mengekangnya dengan tataetika dan Perlembagaan parti berbanding parti-parti pembangkang yang memilih untuk mengatakan mereka boleh mengawal sedangkan ianya berlaku kepada hampir setiap organisasi.

“Ini adalah bergantung kepada pemimpin yang ada dalam organisasi itu untuk mengambil tindakan bagaimana untuk mengekang dan seterusnya menghapuskan amalan ini yang mana perubahan dalam UMNO jelas memperlihatkan parti ini tampil kehadapan, berani dalam memperluaskan kuasa dan hak bukan saja untuk golongan atasan atau individu tertentu dalam UMNO tapi memberikan hak itu kepada ahli-ahli diperingkat akar umbi untuk menentukan masa depan UMNO.”

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut menekankan bahawa pemilihan UMNO ini sangat penting kerana ia adalah landasan dalam menyediakan bala tentera yang akan berperang dan seterusnya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

“UMNO bukan sahaja perlu dibarisi pemimpin yang ikhlas berjuang tapi mempunyai kesediaan untuk melaksanakan amanah yang diberikan rakyat kepada parti maka pemilihan ini bukan sahaja kesiapsedian parti itu sendiri tapi juga keberkesanan kita dalam melaksanakan proses transformasi untuk masa hadapan.


“Kita perlu lakukan perubahan bagi memastikan bahawa sokongan terhadap parti berterusan dan sudah tentu sokongan itu perlu juga diimbangi dengan langkah-langkah yang mampu untuk membawa kepercayaan dan seterusnya menarik lebih banyak lagi undi menjelang PRU ke-14.”

Tegas beliau, berdasarkan pertambahan bilangan kerusi pada PRU lalu, ia adalah isyarat jelas bahawa kepercayaan dan sokongan orang-orang Melayu sangat kuat kepada UMNO dan kita harus meneruskan usaha memperkukuhkan lagi parti dan memberikan kekuatan kepada UMNO.

“Saya melihat UMNO ini adalah parti akar umbi, ia adalah cermin perjuangan akar umbi sendiri. Kalau dahulu UMNO ditubuhkan untuk menuntuk kemerdekaan, maka sekarang UMNO masih bertahan kerana dianggap sebagai parti yang memperjuangkan golongan bumiputera dan juga Melayu.

“UMNO juga merupakan peneraju kepada dasar kerajaan dan seterusnya dasar membela kaum-kaum yang lain secara saksama dan sehingga ke hari ini, tidak ada siapa yang boleh menyangkal peranan yang dimainkan UMNO itu sendiri.

“UMNO juga menunjukkan kepada masyarakat bahawa UMNO merupakan parti yang mengutamakan nadi dan juga suara hati rakyat di bawah sebagaimana apabila berlakunya tsunami politik pada 2008, UMNO merupakan parti yang pertama menlaksanakan proses transformasi. Ini adalah hasil daripada kesiapsiagaan, keterbukaan dan keseimbangan UMNO dalam usaha kita untuk melakukan transformasi demi transformasi,” tegas beliau lagi