BN Ada Peluang Di Sungai Limau, Dulu Pas Menang Kerana Personaliti Bukan Parti


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) kini mempunyai peluang yang baik untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau pada pilihan raya kecil (PRK) nanti walaupun kerusi itu dikuasai Pas sejak lima pilihan raya umum (PRU).

Katanya Pas menang di kawasan itu sejak 1995 menerusi bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak disebabkan daya tarikan peribadi Azizan dalam kalangan pengundi.

” Dulu Tan Sri Azizan dia tak kempen pun tapi dia menang, kerana personaliti. Orang sokong dia kerana personaliti dia, bukan parti. Sekarang mungkin orang nak tukar selera,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan hotel terbaharu syarikat MK Land Holdings Berhad, ‘Ombak Villa’ di sini malam tadi.Dr Mahathir berkata BN boleh memajukan kawasan itu dengan lebih pesat jika berjaya memenangi kerusi DUN Sungai Limau.

Katanya apa yang penting, BN mesti mendekatkan diri dengan rakyat, mengambil tahu masalah rakyat dan cuba membantu menyelesaikan masalah itu.

PRK DUN Sungai Limau akan diadakan berikutan kematian Azizan Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Azizan mempertahan kerusi itu bagi penggal kelima pada PRU13 yang lepas dengan mengalahkan sepupunya Fazillah Mohd Ali dari BN dengan majoriti 2,774 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas Khamis ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu