Mereka Yang Bermasalah, Harus Berundur - @alialhabshee #1Malaysia


BUKAN setakat sudah lama memegang jawatan dan tidak produktif, malah mereka yang bermasalah juga sewajarnya berundur bagi memberi laluan kepada muka-muka baru menerajui UMNO.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, langkah itu juga merupakan sebahagia daripada transformasi politik yang perlu diterjemahkan secara realiti.

"UMNO memerlukan perubahan dalam pelbagai aspek dan salah satu perubahan tersebut ialah kesediaan mereka yang sudah terlalu lama memegang jawatan berundur termasuk yang terpalit dengan pelbagai masalah peribadi," tegasnya.

Mengambil tindakan berundur dan memberi laluan kepada muka baru jelas beliau, bukan bermakna sumbangan dan pengorbanan seseorang pemimpin itu sudah tidak dihargai.

Beliau menjelaskan, UMNO merupakan organisasi politik yang perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman dan penyesuaian perubahan itu menepati citrarasa masyarakat masa kini.

Lagipun jelas beliau, pengunduran seseorang pemimpjin itu merupakan perkara lumrah dalam parti dan sudah semestinya kekosongann tersebut akan dipenuhi bagi meneruskan kesinambungan perjungan UMNO.

"Oleh sebab itu, saya menyokong penuh kenyataan Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub yang menyarankan mana-mana pemimpin UMNO bahagian yang sudah lama memegang jawatan serta tidak lagi produktif supaya berundur secara sukarela bagi memberi laluan kepada muka baru menerajui parti," ujarnya.

Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini, Mustapha dipetik sebagai berkata tindakan sesetengah pemimpin yang mengekaklkan jawatan dan memberi pelbagai alasan hanya akan membantut proses pendewasaan UMNO dan menjadikan parti itu sebuah parti yang tidak progresif.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, pemimpin UMNO perlu membuktikan bahawa mereka juga bersedia melakukan perubahan di perinmgkat kepimpinan bagi menjamin survival parti.

"Jangan kita hanya bercakap desak ahli diperingkat akar umbi supaya melakukan perubahan politik, tetapi dalam masa yang sama masih ada pemimpin yang sudah 'usang' dan tidak produktif tetapi masih tamakkan jawatan dan enggan berundur," tegasnya.

Katanya, pemimpin parti yang turut dikaitkan dengan masalah atau kepentingan keluarga serta peribadi juga sepatutnya mengambil pendekatan berhemah berundur secara terhormat bagi memberi laluan kepada muka-muka baru.

"Sikap keras kepala dan gilakan jawatan sehingga enggan berundur walaupun tercalit dengan isu kontroversil juga dikhuatiri boleh menyebabkan masyarakat memandang sinis terhadap kredibiliti UMNO," tegasnya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa parti memerlukan barsian pemimpin yang boleh diyakini rakyat bagi menghapai gelombang politik yang lebih mencabar terutama persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Tambah Syed Ali lagi, apabila rakyat mula mencemuh atau mempersoalkan kredibiliti seseorang pemimpin bermakna mereka sudah tidak yakin lagi dengan perjuangan UMNO.

"Bagi membuang persespsi negatif itu, pemimpin yang sudah lama memegang jawatan atau bermasalah sepatutnya berundur secara ikhlas jika mereka sayangkan parti," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan, mana-mana calon yang menawarkan diri bertanding pada pemilihan parti Oktober ini perlu dikenakan tindakan keras termasuk memecat keahlian mereka jika terbukti sabit kesalahan melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Mereka yang sengaja melanggar peraturan disiplin termasuk yang bertentangan dengan Perkara 5:3 Tataetika Ahli UMNO perlu dikenakan tindakan keras bagi memastikan UMNO benar-benar bersih daripada segala penyelewengan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi gesaannya sebelum ini supaya mana-mana calon yang bertanding pada pemilihan akan datang tidak menggunakan saluran media dan laman-laman sosial untuk menyebarkan fitnah dan menyerang peribadi seseorang calon.

Beliau menjelaskan demikian sebagai reaksi terhadap peringatan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang melarang ahli-ahli UMNO menggunakan saluran media demi menjatuhkan reputasi pesaing mereka yang bakal bertanding dalam pemilihan parti tidak lama lagi.